Friday, April 19, 2013

Pantun Anakku Sazali Anak Bapak....


Malam gerimis syahdu cuaca,
Mentari kelam hujan membasah,
Purnama mendung menyapa terik;
Alam tempiasan bumi meruntun;
Salam manis madu secamca,
Jari berkalam laluan kisah,
Umpama kampung tanpa elektrik,
Dalam kehangatan Ummi berpantun.
( ni pantun lapan kerat satu rangkap.....sebab Ummi banyak nak cakap...^^, )

Menonton filem Anakku Sazali,
Usah dilupakan si Anak Bapak;
Pantun bersulam berlagu asli,
Kisah secerpa semerbak kelopak.

Bangku dibeli tidak bertapak,
Meranti lapuk lima ukiran;
ANAKKU SAZALI dan si ANAK BAPAK,
Berinti tajuk bertema pengajaran.


Bapak cuma 'Anakku Sazali..'



Suka hati...pakai cetti.... :D

Anak solehah didikan ibubapa mithali....
Assalamu'alaikum sahabat bestari, Ummi kembali sekali lagi setelah berhari-hari menanti....membawa tema filem P. Ramlee, sambil berpantun memberi isi, buat peringatan diri sendiri.....

Alhamdulillah....kembali di arena pantun...berkembar tema filem yang selalu dipertonton, mengambil peringatan dan lesson...maafkan lah Ummi kerana bahasa bapak yang mungkin agak kasar bunyinya....
Ummi sangat pasti tentu rakan-rakan, pakcik makcik, pakngah makngah telah pernah menonton filem Anakku Sazali dan Anak Bapak.....semoga kita mengambil iktibar daripada cerita tersebut sambil berpantun-pantun... satu...dua.....tiga.....mula ya.... =D

Jejak pendekar jejak bermudik,
Membelah sungai menyapa keli;
Bijak mengajar bijak mendidik,
Jadilah sebagai ibubapa mithali.

Kerja memilih tidak bertempat,
Berkejar ke kota selalu berjoli,
Manja terlebih kelak mendapat,
 Berkembar cerita Anakku Sazali.

Tak tahu rambut berbau hapak,
Badan berketak lepak di cermin;
Tak mahu ikut si Anak Bapak,
Nafaskan sesak anak main-main.

Sungai berkelodak di tepi seberang,
Airnya kotor adalah sembilang;
Perangai menidak kaki temberang,
Akhirnya telur pecah tembelang.

Senak sengal badan berbayang,
Senak pulak dititiknya ubat;
Anak tunggal disayang-sayang,
Anak berakhlak didiknya hebat.

Mudik ke daik airnya naik,
Guruh kuat sendi terasa;
Dididik baik akhirnya baik,
Disuruh buat menjadi biasa.

Hendak berjumpa di pantai berawan,
Sampai ke malam tidak ternampak;
Anak dan bapa sebagai kawan,
Bagai filem si Anak Bapak.

Serdak hapak di loyang jingga,
Makan Cik Puan dengan sedihnya;
Anak bapak disayang dibangga,
Bagaikan acuan dengan kuihnya.

Guni jerami basah di pangkin,
Tanda berkarat di bucu bertali;
Kini Ummi berkisah yang lain,
Ada yang tersurat di Anakku Sazali.

Ikan belanak bercelah-celahan,
Bangkai tenggiri busuk di ulu;
Dimanjakan anak berlebih-lebihan,
Sampai diri ditusuk sembilu.

Takut-takut gagak dan undan,
Kurus terkedek di tepinya paya;
Berpatut-patut beragak berpadan,
Bagus mendidik jadinya percaya.

Redup dingin masih di sawah,
Terang hari sampan dibawa;
Hidup miskin beralih  mewah,
Kurang memberi santapan jiwa.

Tanak nasi beras berkulat,
Sudah pekat serawa ubi;
Anak dipercayai bulat-bulat,
Berpadah akibat membawa rugi.

Kerapu dibeli dimasak medak,
Rencah kelapa dimakan tempua;
Antara Anakku Sazali dan Anak Bapak,
Adakah serupa pembawakan kedua.

Belah purut sebiji sekali,
Masak bingka dijerang santan,
Laksa liat beli di seberang,
Mangga dimakan kelapa kari,
Mengapa lama menunggu pembeli;
Usah diturut resmi Sazali,
Anak derhaka kurang didikan,
Dosa dibuat dibenci orang,
Hingga melukakan bapa sendiri.
Bapa cuma 'Anakku Sazali'.
 ( pantun sepuluh kerat....cubaann.. )

Makan gambir diselit sirih,
Gaya santun duduk mengandam;
Bukan menyindir sedikit kasih,
Hanya berpantun sesenduk ulam.

Cindai suami di pohon angsana,
Di Subuh embun turun berkebun;
Andai Ummi berpantun tak kena,
Serendah hati ku mohon ampun .

Itulah dia kisah Anak Bapak dan Anakku Sazali....yang membawa maksud yang mendalam..disamping memberi pengajaran buat renumgan kita semua...... Pengajaran dan moralnya di sini adalah jangan berlebih-lebihan memanjakan anak-anak....buruk akibat kalau dah terlambat....
Kalau baik disampai bukan setakat bapa tapi juga ibu....maka baiklah pembawakan anak.....ye tak.. =)

Sampai jumpa lagi ya.....sudi-sudikanlah berpantun dan klik-klik cari filem di perkataan yang diwarnakan..... salam manis kasih sahabat dari Ummi.....yang tak indah dan terburuk dari Ummi dan yang terbaik adalah dari Allah jua....

Buat santapan jiwa rohani..

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas Yang memberi harapan.” (Al-Kahfi : 46)


Kalam berpena...

UmmiAin

21 comments:

  1. suka suka sukaaaaaaaaaa dgn semua pantun2 di atas.. rasanya dah lama saya tak berpantun sejak dah meninggalkan aman perseklhan lagi.. this reminds me my school years :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha...terimakasih Adzair.....

      Ummi memang suka berpantun eversince primary school lagi...Ummi harap Azair sudi datang lagi berpantun-pantun dengan Ummi ye....Ummi pun sukaaa... =D

      Delete
  2. Assalamualaikum Ummi,
    Kerana disahut...lewat malam datang berpantun :)

    Berlaku sekali hendak mengalah,
    Sekali kapak tersingkap rekah,
    Anakku Sazali tidak bersalah,
    Tapi bapak tersilap langkah.

    Merana rugi tiadanya tuah,
    Langkah kaku tidak bertapak,
    Kemana lagi tumpahnya kuah,
    Bukankah aku anak bapak.

    Derita membeli gamat lintah,
    Ulam peria tiada sudah,
    Luluh merana serata badan,
    Cerita P.Ramlee sungguh indah,
    Dalam gembira ada gundah,
    Penuh makna serta tauladan.

    Semoga ceria dihujung minggu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam datang berkunung,
      Dalam semalam pulang ke kampung..

      Membeli lemang masih berjaja,
      Sayang hapak buluhnya lama;
      Sazali memang terlebih manja,
      Sayang dek bapak melepuhnya agama.

      Kerbau di sawah dilapah isi,
      Kerana harimau ada menyambar;
      Kalau kuah tumpah ke nasi,
      Bagaimana kalau terkena tikar.

      Temili setimbun kita menggali,
      Bidara dan nangka dikait nanti,
      Beruk menjamah ke dahan naik;
      Berkali menonton cerita P.Ramlee,
      Gembira duka mencuit hati,
      Tersorok hikmah tauladan baik.

      Terimakasih seloyang selasih...:D

      Delete
  3. Assalamualaikum ummi =)

    Telunjuk kata paku sekali
    Puyuh jantan sayang geram
    Tajuk cerita Anakku Sazali
    Penuh pengajaran pada yang faham

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Kak Nah =D

      Paku sekali retak tak nampak,
      Blok kerikil tanam di taman;
      Anakku Sazali dan Anak Bapak,
      Elok diambil faham pedoman.

      Tumbuh melati Selasa senja,
      Melantun ke tanah di hari Rabu;
      Sungguh hati terasa teruja,
      Pantun KakNah bersari kerabu.

      Delete
  4. byaknya pantun..tak berapa reti nak berpantun Ummi hehe..

    bunga dipetik untuk kakak
    diselit cantik dicuping telinga
    kisah sazali cerita menarik
    buat pedoman untuk semua..

    sorry la Ummi tak pandai

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak menonton cerita ditonton,
      Jangan berlama kerana waktu;
      Banyak pantun kita berpantun,
      Pilihan mama yang mana satu.

      Abang serik memaku kuali,
      Nenek berpesan naikkan pandan;
      Memang menarik Anakku Sazali,
      Berdetik ehsan baik tauladan.


      Okla tuu...Mama pandai berpantun, terimakasih Mama dear :D

      Delete
  5. Anakku Sazali Anak bapak,
    Ahmad Albab anak Si Syawal;
    Resah hati siapalah nampak,
    Rumah siap tidur di bangsal.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pandai cikgu berpantun....terimakasih ye =)

      Ahmad Albab anaknya Syawal,
      Syawal menjaja menunggu bonda;
      Rumah siap tidurnya di bangsal,
      Bangsal pula berbau kuda...hehehe

      Delete
  6. Usah berduka mengimbau kenangan
    Hiburkan hati bersama berpantun
    Filem P Ramlee penuh pengajaran
    Anakku Sazali realiti kehidupan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Minyak telon di tepi besen,
      Titiknya sampai busuknya badan;
      Banyak ditonton di televisyen,
      Cantiknya dipakai buruknya berpadan.

      Delete
  7. Ombak melandai tinggalkan buih
    Batu pantai sejuk sekali
    Salah didikan manja pun terlebih
    Jangan salahkan Anakku Sazali

    Ibarat pungguk rindukan bulan
    Bulan 15 sungguh lah terang
    Ibarat ketam ajar anak berjalan
    Anak Bapak tiada yang terlarang

    Pagi2 menyelak koran
    koran dibeli di toko pak madan
    Cerita P Ramlee dijadikan sandaran
    Buat tauladan juga sempadan

    ReplyDelete
  8. Pergi Puan ke Tanjung Tualang
    Membawa bekas besar selangga
    Sentuhan P.Ramlee keramat dijulang
    Makna tersirat tidak terhingga ... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Belahan kuali berkarat alu,
      Berkarat tepi belanga basah;
      Sentuhan P.Ramlee diingat selalu,
      Tersirat erti berbunga kisah...

      Terimakasih Sufian.. ^^

      Delete
  9. Menitip pena payung mahkota
    Bergema nama seluruh negeri
    Terima kasih beribu kata
    Salam dialu pengikat seri

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pantai dalam cahaya kabut,
      Cenderwasih turun sehari,
      Berkelah petang mandi berkali;
      Waalaikumsalam saya menyambut,
      Terimaksih pantun penyeri,
      Jemputlah datang di lain kali... ^^

      Delete
  10. Terserlah adat budaya santun
    Menapak zaman teguh berdiri
    Bersatu mempelai pembuka layan
    Lama kita tidak berpantun
    Sekadar mencuba menilai kendiri
    Terima kasih sudi melayan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lemau delima masak serumpun,
      Mulalah pula menatang kuini,
      Kebun durian tumbuhlah putik,
      Mengapa tiada di kampung saya;
      Kalau lama tidak berpantun,
      Sila oo sila datang ke sini,
      Pantun tuan sungguhlah cantik,
      Rupanya ada penyambung budaya... ^^

      Delete
  11. Terror Kak. Ummi pantun... indah-indah bahasa nya... banyak bahasa klasik.. seronok baca... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bulan mencuba irama senandung,
      Terasa pungguk di atas cemara;
      Nukilan hamba lama dan kampung,
      Bahasa untuk penghias bicara.

      Terimakasih Sufian Wahi kerana memuji,
      Selamat berkenalan dari Kak Ummi.... ^__^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^