Friday, March 8, 2013

Pantun Geram Janganlah Geram...


Assalamu'alaikum dan salam manis-manis madu dari Ummi buat sekelian pembaca dan pemantun budiman...temanya kali ini adalah GERAM ataupun marah...anda marah atau geram..sama sahajakan...tapi geram adalah lebih lembut mengikut pandangan Ummi...kalau marah mengikut nafsu dan bisikan hati..tak gitu...apa pendapat anda..

Banyak benda yang kita geram....geram pada yang cantik dan geram kerana marah.....anda pula bagaimana..

Jom kita berpantun ...seperti biasa biar ada rasa....terimalah pantun peringatan buat kita semua  =D



Gurindam Laksamana sepinya kalbu,
Dayang Saerah di ulu lepas;
Geram kerana pipinya gebu,
Bayang darah telur dikupas.

Tenggelam sudah disambar buaya,
Aksinya garang melempar batu;
Geram dan marah berkembar gaya,
Emosinya orang sukar ditentu.

Selangkah terlebih menghala titi,
Ada jeram hendak berlalu;
Alangkah sedih bila disakiti,
Kerana geram bertindak melulu.

Garam penyedap kari tenggiri,
Bekal tapai sarat dibawa;
Geram terhadap diri sendiri,
Gagal menggapai hasrat kecewa.

Mengapa karam di lautan mati,
Pecah seribu nampak terbelah;
Mengapa digeram hujan tak berenti,
Bukankah itu rahmatnya Allah.

Bertanam kelapa hendak dipetik,
Kelapa dipetik satu persatu;
Digeram apa kepada yang cantik,
Rupa yang cantik hati tak menentu.

Plata dimasak bersulah garam,
Bahan ketumbar adalah pasir;
Kereta rosak usahlah geram,
Tahan dan sabar berilah fikir.

Bukit tinggi pasaknya alam,,
Pantai cerah deru beraksi;
Sakit gigi usahlah geram,
Bagai memisah kuku dan isi.

Param dibubuh berangin sendi,
Ubat sirih dibancuh ditelan;
Geram sungguh bersin tak jadi,
Ibarat kasih separuh jalan.

Karam bahtera trajis di lautan,
Terkena selisih sauh bertali;
Geram melara menangis sendirian,
Kerana kekasih jauh sekali.

Labuci gemerlap jelita si dara,
Bersulam simpul berkain tudung;
Benci sikap berpura-pura,
Geram timbul semakin merundung.

Dalam jambangan tempua bersarang,
Lastik memerang di celah dahan;
Geram dengan dunia sekarang;
Asyik berperang berbunuh-bunuhan.

Kuah bergaram serawa dan pengat,
Secangkir madu dimakan sesudu;
Marah dan geram membawa akibat,
Berfikir dahulu bertahan nafsu.

Buahlah salak dimakan labi,
Pinang selekar habis dimakan;
Contohlah akhlak terpuji Nabi,
Tenang sabar pemanis iman.

Hendak ku raut daun yang lebat,
Mengapa hangat daunnya kuini;
Hendak disebut pantun terhebat,
Apalah sangat pantunnya Ummi.

Tupai melompat bermalas-malasan,
Merayap berlari di rumpun buluh;
Andai kesat bahasa kiasan,
Melekap jari bersusun sepuluh.



‘Ya Allah! Jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang dapat menahan kemarahan kami, dan jadikanlah kami dari kalangan orang yang suka memberi kemaafan dan perdamaian. Golongkanlah kami dengan orang-orang yang beramal dan mengikuti apa yang telah diperintahkan oleh Allah, mengikuti penghulu segala nabi-nabi dan rasul-rasul iaitu penghulu kami Muhammad SAW. Ya Allah! terimakanlah doa kami.’

Sekian sahaja dari Ummi, sampai jumpa lagi....GERAM...GERAM JANGANLAH ANDA GERAM..hehe, lagu Black Dog Bone yang penuh dengan lirik geram.... silalah click.. =D

Salam manis buat anda semua...jangan lupa berpantun..ya =D

Kalam berpena...

UmmiAin


34 comments:

  1. saya geram jika dah lama x mengomen x kat sini, lepas lah geram saya apabila sudah komen disini, nak ikut serta pantun boleh tetapi pantun mama sangat banyak, sukar bagi hamba menjawab dan membalasnya

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan...jangan lah Juan geram, pantun serangkap sudah memadai...Ummi berpantun buat peringatan, kalau boleh berpantun bersama atas tema yang sama...sama berhibur sama merasa...kita kongsi-kongsi idea...tak gitu...Ummi pasti Juan boleh punya... cubalahh..lepaskan geram Juan dengan serangkap pantun...ya =D

      Delete
  2. salam mesra buat kak ummi sekeluarga..

    Si kura-kura berjalan perlahan
    si arnab larinya laju
    Jgn Digeram internet pelahan
    tukarlah unifi baru laju

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam sehabis mesra juga buat Hairul adik akak.. :D

      Baju kain net indah bersulam,
      Diguna mempelai bergaun biru;
      Laju internet sudah tak geram,
      Kerana unifi pujaan hatiku. =D

      Delete
  3. salam buat ummi :)
    alhamdulillah, baru selesai periksa.ini hanis sahut ajakan ummi^^

    merahnya saga dilumur garam,
    bertindih joran di pohon berangan;
    jangan diduga penangan geram,
    melangkau fikiran, tak tertahan penangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam buat Hanis yang comel :D
      Mudah-mudahan success dalam exam..amin insyaAllah.. ;D

      Jeram muara berdaik pangkal,
      Gagau siberuk mati berlelah;
      Geram perkara baik tidak disoal,
      Kalau yang buruk pasti bermasalah.

      * Pandai Hanis berpantun... terimakasih berdaun keladi.. =D

      Delete
    2. pisang sepeti berlada sulah,
      kayu belati dibelah belah;
      yang buruk pasti beri masalah,
      tenangkan hati ingatkan Allah.

      :)

      Delete
    3. Mari menyaji selera jeruk,
      Pengat berkuah sipisang serawa;
      Diberi uji perkara yang buruk,
      Ingat Allah tenang di jiwa.

      Tenkiu dear.. =D

      Delete
  4. tgh geram ni.org fax tapi slh htr.pstu ingt org tak fax lagi.dia mrh kita.ingt kita sengaja nk lewat fax.dah tak ucp terima ksh sb org tolog buat keje dia tu..
    sarblh jelah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jambangan mawar disiram selalu,
      Mengharap akan disunting pula;
      Jangan dibiar geram melulu,
      Silap haribulan pening kepala.

      Delete
  5. kesabaran ttp ada tpi klu kena mrh2 sapa tahan.kita pekak telinga tak bisa jwb apa2.tu jadi org bawahan hee...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pagarnya kayu tenggelam berbukit,
      Dahan luaran hanya berplastik;
      Sabarnya mahu geram sedikit,
      Tahan cabaran kerjanya cantik.

      Delete
  6. .suka komen kt sini sb mudah da pprovedkan.sb sblum ni kena lalaui stage tulis nombor dan abjad.rasa leceh sgt2..huu..skdar pemerhatian sy.btw mugkin admin nak baut security utk blog dri d godam kan heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih Suri dear...sebelum ni memang takada wv, Kak Ummi cuma testing dan ternyata menjadi masalah buat setengah-setengah rakan Kak Ummi..apapun demi rakan2..dah diperbetulkan... =D

      Delete
  7. Minyak sapi buat berurut,
    Kunyit sehiris dalam genggaman;
    Geram hati wajah berkerut,
    Hilang manis dalam senyuman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mempelam sepeti berbuah kecut,
      Pasti tidak teringin jua;
      Geram hati wajah berkedut,
      Nanti nampak semakin tua.

      Delete
  8. Daun keladi mahu dilurut,
    Kunyit sehiris dalam genggaman;
    Geram di hati muka berkerut,
    Tiada manis dalam senyuman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Siram melati sibunga lawa,
      Harum menitis selebat basahan;
      Geram di hati bermuka ketawa,
      Senyum manis dapat bertahan.

      * Terimakasih cikgu kerana setiap kali mesti singgah berpantun yang indah-indah di blog Ummi.. =D

      Delete
  9. Assalamualaikum...Ummi :)
    semoga sihat tubuh badan,
    Kenapa geram menjadi bahan?

    Tangan cekam bisa mencengkam,
    Jambul jahanam kerana meroyan,
    Jangan di pendam rasa geram,
    Timbul dendam merana badan,

    Buka sejadah menunggu hari,
    Bebaskan gurindam angan bertahun,
    Jika masalah mengganggu diri,
    Lepaskan geram dengan berpantun.

    Garam halba ada seguni,
    Rumpun lebat hanya kenangan,
    Geram hamba pada Ummi,
    Pantun hebat tiada bandingan.

    p/s: Teringat lagu: geram...jgn engkau geram (geram...geram) geram...bermacam ragam...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam..tuan bernama... :)
      Alhamdulillah keizinan TUHAN,
      Bertemakan geram dalam peringatan.

      Bersulam permata destar SiJebat,
      Pesona pendekar berdandan lawa;
      Geram dibaca biar bertempat,
      Merana lama badan dan jiwa.

      Harimau benggala mencengkam mangsa,
      Makan di rumpun seekor merpati;
      Kalau dah mula geram terasa,
      Akan ku pantun menghibur hati.

      Jambangan bersulam ada bersemi,
      Pasu ditadah mengapa ditanya;
      Jangan digeram kepada Ummi,
      Pantunmu indah tiada kurangnya.

      * Terimakasih berpeti-peti, pantunmu selalu dinanti.. =D

      Delete
    2. Sambutlah salam segudang ku ini,
      Larutlah malam bertandang ke sini...

      Seram sungguh penunggu kapan,
      Hanya kunang mesra menanti,
      Geram sungguh menunggu jawapan,
      Akhirnya tenang rasa dihati.

      Hehe..itu jer :)

      Delete
    3. Salam bersambut di tengah malam,
      Malam berkabut menjamah alam... hehe

      Hanya berhujan dimalam minggu,
      Kelam mentari gelapnya nanti;
      Rupanya tuan geram menunggu,
      Ilham dicari jawapnya pasti.

      * Tenkiu =D

      Delete
    4. Assalamualaikum...Ummi :)

      Burung kenari sedang mengomel,
      Jangan bersedih dikala gundah
      Kemana pergi Ummi yang comel?
      Pantun terlebih hilang sudah.

      Delete
    5. Wassalamu'alaikum..

      Daun selasih makan bersimpul,
      Kari gelama terasa garam,
      Ada haruan dibiarkan sahaja;
      Pantun Terlebih akan menyusul,
      Entri lama terpaksa dipadam,
      Kerana gurauan anak yang manja... =)

      (Pantun 6 kerat)

      Delete
  10. masam sungguh buah mempelam,
    pokok pisang tidak berdaun;
    geram sungguh hati di dalam
    ilham gersang menjawab pantun.

    * saya pun ada buat pantun bersin tak jadi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Makan timun bersama bendi,
      Tanggalnya graham di tengahari;
      Geramkan pantun bersin tak jadi,
      Asalnya ilham pakngah sendiri. =D

      * Jangan geram naa..
      terima kasih pantun pakngah orang lama memberi ilham buat Ummi..=D

      Delete
  11. Assalamualaikum.salam pagi minggu.suka baca pantun ummi tp syg knah xpandai nak berpantun..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam kakNah... =D

      Melayang-layang ke tanah seberang,
      Turun merpati hinggap di batu;
      Sayang-sayang KakNah seorang,
      Pantunmu ku nanti setiap waktu.

      * It's ok KakNah, datang kemari sudah buatkan Ummi sangat gembira.. tq KakNah =D

      Delete
  12. hehee geram tengok orang boleh buat pantun panjang2 dan best,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lupa garam tiada mentimun,
      Kainlah lama menyental kuali;
      Apa digeram kepada pantun,
      Marilah sama berjual beli. =D

      Delete
  13. ikan tenggiri udang galah
    masak kicap udang lipan
    bila terasa dah bersalah
    gerammm kenapa liat bermaafan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kelapa hangus dikata bersantan,
      Makan ubi sampaikan lumat;
      Mengapa harus tiada kemaafan,
      Sedangkan NABI ampunkan umat.

      Delete
    2. * Terimakasih Sudais kerana pantunmu seindah bulan.. =D

      Delete
  14. Perasaan geram memang tak dapat dielakkan dah dalam hidup kita tiap2 hari.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^