Saturday, March 2, 2013

Pantun Buruknya Apa...

Assalamu'alaikum dan salam manis-manis bergaram buat rakan-rakan adik-adik Ummi sekelian.....ada sedikit gangguan semalam, lagu nostalgia tak dapat dimainkan oleh kerana disturbance SCM yang mana page hilang dan digantikan dengan page SCM yang entah dari mana datangnya..mungkin bukan Ummi seorang yang alami tapi ramai yang blog mereka mendapat gangguan. Alhamdulillah semua telah kembali back to normal...kembali seperti biasa. Janganlah berulang lagi..kelak merana hati...haha..

Kali ini Ummi dahulukan rangkaian pantun Ummi bersama hadis Rasulullah saw....seiring dengan tema pantun Ummi iaitu BURUKNYA APA.. Sama-samalah kita renungkan ya.. =D


“Dari Abu Hurairah r.a., bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: “Jauhilah oleh kalian berprasangka, kerana berprasangka merupakan seburuk-buruk pembicaraan, serta janganlah kalian meraba-raba dan mencari-cari kesalahan orang lain, janganlah kalian saling berdebat, saling hasud-menghasud, saling benci-membenci dan saling belakang-membelakangi, tetapi jadilah kalian hamba Allah yang bersaudara sebagaimana yang diperintahkan kepada kalian. Orang Islam adalah saudara bagi Islam yang lain, tidak boleh saling menganiaya, membiarkan, mendustakan, dan saling menghina. Taqwa itu disini, dan (sambil) beliau mengisyaratkan (telunjuk) ke dadanya tiga kali. Cukuplah seseorang dikatakan orang jahat (buruk perangai) apabila dia menghina saudaranya yang Islam. Setiap orang Islam terhadap orang Islam yang lain adalah haram darahnya,kehormatannya dan hartanya. Sesungguhnya Allah tidak memandang tubuh, rupa dan amal-amal perbuatanmu, tetapi Allah memandang kepada hati.” (HR Bukhari dan Muslim)


Pantai Buruk pantai idamang.... :D


Peta hati....




Bermimpi buruk...




Biskut Batang Buruk...


Jeruk banyak selera jeruk,
Jeruk rambai kelat di lidah;
Buruk banyak perkara buruk,
Buruk perangai dapat diubah.

Nangka dipetik bawanya esok,
Melati kecut harum sewaktu;
Muka cantik jiwa menusuk,
Hati perut belumlah tentu.

Halwa maskat makan di ceruk,
Dalca pekat beralas loyang;
Tua ibarat Quran yang buruk,
Dibaca tak dapat dilepas sayang.

Main sorok dalam jerami,
Dekat gelap menyisir bata;
Kain yang buruk berikan Ummi,
Buat mengelap si airmata.

Kelapa ditebuk tanpa bermata,
Cuba dibelah dengan gergaji;
Rupa yang buruk tidak dipinta,
Hamba Allah diberi uji.

Jeruk nangka dikerat-kerat,
Hendak mencari terung berbiji;
Buruk sangka hati bersirat,
Kelak diri menanggung rugi.

Dari sarang ke dahan betik,
Beruk menunggu si anak kala;
Diberi barang hendakkan balik,
Buruk siku namanya pula.

Tatang periuk terlebih nasi,
Sedap juga serunding kelapa;
Batang buruk kuih tradisi,
Sedap terhingga dibanding rupa.

Waktu syuruk sampai terlebih,
Sampai berdetik tidak menunggu;
Batu Buruk pantai yang bersih,
Pantai tercantik di Terengganu.

Pagi Syuruk habislah pula,
Petang sedikit solatnya mahu;
Gigi buruk terlebihlah gula, 
Datang penyakit barunya tahu. 

Hati kemaruk mengidam haruan,
Entah pagi melara cuaca;
Bermimpi buruk bermacam jadian, 
Basuhlah kaki doa dibaca. 

Buah mangga hanya setangkai,
Tupai meninjau terkulat-kulat;
Rupa berharga jahatnya sampai, 
Bagai  belinjau dimakan ulat.

Seekor beruk memakan nona,
Buah pula bercampur belerang;
Baju yang buruk lagikan berguna,
Inikan pula umurnya orang.

Buat jeruk berhampar perca,
Dibagi sepeti garam dicampur;
Niat buruk sukar dibaca,
Selagi hati bersulam lumpur.

Ikan tenggiri di muara Chalok,
Sepat betutu termakan umpan;
Hindarkan diri bicara tak elok,
Mengumpat itu bisikan syaitan.

Dibayang timbun menangkap tupai,
Pandai berhelah membelah alur;
Selayang pantun berangkap rampai,
Andai tersalah silalah tegur.

Daun peria dimakan bubuk,
Pohon berembun dipagi Subuh;
Pantun saya lembaran yang buruk,
Mohon bersusun jari sepuluh.


Ya...memang banyak buruk bermacam buruk...buruk rupa tidak mengapa, buruk background nak kata apa,
asal isi di dalam cantik, Allah tidak memandang buruk atau cantiknya seseorang...hanya amalan yang cantik mendapat ganjaran.....renung-renungkanlah hadis di atas.. Jangan lupa berpantun ya... =D

Sekian dari Ummi, yang buruk dan busuk dari Ummi dan yang terbaik adalah dari Allah SWT, semoga kita semua dihindari dari perkara-perkara buruk dalam pegangan yang lurus dan betul...insyaAllah...amin...

Salam manis sehabis manis,
Manis bergaram tiadanya semua;
Dalam menggaris menepis gerimis,
Gerimis disulam dengannya doa.



Kalam berpena...

UmmiAin


24 comments:

  1. Anak kijang si anak tenuk,
    Asyik ketawa ketika makan;
    Elakkan dari kejadian buruk,
    Banyak berdoa kepada Tuhan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ikan betuk di dalam telaga,
      Dapat jua sekali haruan;
      Kejadian buruk siapa terduga,
      Hanya doa menjadi pakaian.

      Delete
  2. salam buat Ummi yang banyak support Hanis :)

    Ummi tak nak buat GA yang bertemakan pantun ke? seronok jugak tengok generasi2 Y ni mendukung warisan bangsa :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Aniez =D

      teringin juga tapi buata masa ni belum lagi...cuma berpantun-pantunan untuk memeriahkan majlis.. apakata Aniez join sekali... Ummi sangat berbesar hati.. =D

      Delete
    2. nanti ummi bagilah tema..insyaAllah lepas habis exam ni, hanis berpantun dengan ummi^^

      Delete
    3. InsyaAllah, memang selalu Ummi rangkaikan tema buat pemantun-pemantun berbakat...termasuk Aniez...Ummi sentiasa menunggu pantun darimu dear.. :D

      Delete
  3. Budi Bahasa warisan kita
    membentuk insan berakhlak mulia
    Caci Mencaci bukan budaya kita
    Kutuk Memfitnah dilarang agama

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tayar kereta terlekat lumpur,
      Mengiring terhentak belahan lima;
      Budaya kita terhormat dan luhur,
      Seiiring rentak tuntutan agama.

      * Terimakasih Hairul... =D

      Delete
  4. Salam empunya blog.......

    Main sorok-sorok dalam paya
    Nasib tak baik tercucuk paku
    Buruk besi kerana karatnya
    Buruk manusia pada tingkah laku

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam En Zulkbo.. :)

      Jerat tangsi sudah tersorok,
      Pagar diterpa tangan terpaku;
      Karat besi memanglah buruk,
      Biar pada rupa jangan kelaku.

      * Tq =D

      Delete
  5. Assalamua'laikum...salam manis ku hulurkan,
    Agar ummi sentiasa sihat dalam keberkatan.

    Kini hati riang penuh ceria,
    Semalaman memujuk hati yang rajuk,
    Sedih hati melihat sifat manusia,
    Suka membanding cantik dan buruk.

    Rajuk diri ingin ke Pekan,
    Hajat tercapai bukan lagi angan,
    Buruk rupa bukan ukuran,
    Hati mulia jadi sanjungan.

    Pergi ke Pekan membeli jeruk,
    Kerana mengidam aku turutkan,
    Pantun hamba mungkin buruk,
    Salah silap harap tunjukkan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam..

      Manisnya salam sudah disambut,
      Alhamdullah sihat dengan izin Allah.. =D

      Ada seloyang kerisik dan jeruk,
      Limau dan garam dibeli tadi;
      Apa dipandang cantik dan buruk,
      Kalau tidak bersulam budi.

      Kemaruk berjumpa dara pinggiran,
      Masih menanti di tepi perahu;
      Buruk rupa bukan ukuran,
      Kasih sejati itu yang mahu.

      Daun muda sudahlah jatuh,
      Jenuh mengutip bersarap busut;
      Pantun anda indahlah sungguh,
      Penuh bertitip berungkap maksud.

      * terimakasih sangat sebab sudi berpantun di blog Ummi yang buruk ni... =D

      Delete
    2. Assalamualaikum...salam buat Ummi,
      Gian berpantun bertandang kesini :)

      Bagaikan telur dihujung tanduk,
      Masakan timba mencari perigi,
      Adakah merajuk pada hamba yg buruk,
      Lama menghilang ke manakah pergi?

      Delete

    3. Wa'alaikumsalam di dalam hati,
      Allah...Allah...sukanya Ummi.. =D

      Lapuk papan di belah retak,
      Lama dipandang bersarang ular;
      Merajuk bukan marah pun tidak,
      Cuma sedang mengarang lembar.

      * Tenkiu so much pantun yang indah.

      Delete
  6. tak pandai sangat berpantun tapi akak setuju sangat2 apa yang ditulis oleh admin

    ReplyDelete
    Replies

    1. Selasih berurap sipucuk rebung,
      Rebungan sepeti masakan teruna;
      Terimakasih sebab berkunjung,
      Kunjungan Cik Siti meriahkan suasana. =D

      Delete
  7. salam..biskut btg buruk sedap susuh nk cri klu ada pun time raya heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Suri dear.. =)

      Biskut batang buruk memang feveret Ka Ummi, kalau hari raya kuih tu yang Kak Umi tala dulu, cair di mulut... =D

      Delete
  8. bruk org tgok sy pakai gini.selu org anggap sy begini sb kedua ibu bapa saya.sedgkan itu 1 tuntutan agman.sedih bila org salah sangka..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Berjumpa susah berkata terang,
      Terdetik kalbu sampai mencari;
      Mengapa dikisah dikata orang,
      Cantik dirimu bagai bidadari.

      * Bertudung labuh itulah muslimah sejati....
      =D

      Delete


  9. tumbuh melata lalang nan rendah,
    dibalik angsana bersilang pala;
    mengapa dikata yang kurang indah,
    buruknya rupa, bukanlah segala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Teruk terkena dijentik jerat,
      Ubat sejengkal diberi makan;
      Buruk di dunia cantik di akhirat,
      Solat dan amal menjadi solekan.

      Delete
  10. tumbuh melata lalang nan rendah,
    tepian angsana bersilang pala;
    mengapa dikata yang kurang indah,
    buruknya rupa, bukanlah segala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jeruk pala berkarang lidah,
      Menanti papaya mari dijamah;
      Buruk rupa dan kurang indah,
      Berhati mulia penyeri muslimah.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^