Monday, February 11, 2013

Pantun Terakhir..



Salam berpantun manis-manis bergaram, hamba kembali merindu dendam.....sudah perangat kari di kuali,
sudah hangat kini ku kembali... =

Adik-adik, tuan puan, kakak abang, kawan-kawan, usahlah malu dan jangan segan. Pantun bertema perkara TERAKHIR , jangan sangka pantun ku pantun terakhir, oh tak mungkinnn, haha, hanya tema yang harus difikir, sebut di bibir jari mengukir... perkara TERAKHIR ada berbagai macam, kalau disebut mungkin menjadi takut, takut segalanya akan berakhir...surat terakhir, anak terakhir, ayat terakhir...dan sebagainya lagi...fikirkan bakti terakhir yang kita berikan pada akhir hari, tanya sama hati....usah difikirkan lagi..




Pesan Rasulullah s.a.w buat umat baginda...

Mungkinkah ini sujud terakhir...

Bilakah kita akan melalui saat nafas terakhir...


Jom kita berpantun...teruskan.. ya...


Berdentam dentum suara mercun,
Hingar merata suara pun naik;
Assalamu'alaikum para pemantun,
Khabar berita semoganya baik..

Berbaju jubah berlipat santun,
Sopan dijaga bagaikan sufi,
Baru sekaranglah dapat berpantun,
Tuntutan keluarga jangan dinafi.

Sudah besar sibuah nangka,
Jatuh ke bumi dimakan khinzir;
Usah gusar usah bersangka,
Pantun Ummi bukan terakhir.

Lama menunggu surutnya bah,
Air berpasir terendam sagu;
Nama Sabtu disebutnya sudah,
Hari terakhir dalam seminggu,

Sila menari lagunya sarsa,
Sambil menyanyi mengukir pantun;
Bermula Januari pengetua masa,
Disember menanti diakhir tahun.

Roti jala kopinya secangkir,
Kari ayam sedap dimakan;
Di mana mula pastinya berakhir,
Memori bersulam tetap disimpan.

Hendak berzikir rasanya lesu,
Sama bermula sambil menolong;
Anak terakhir gelarannya Maksu,
Pertama pula dipanggil Pak Long.

Berkepul mendung sarat berair,
Masih menanti curahan hujan;
Sampul terkandung surat terakhir,
Kasih terhenti pertengahan jalan.

Tepi pinggir empat penjuru,
Sewa pengkalan membubu ikan;
Destinasi terakhir tempat dituju,
Membawa bekalan bertemu Tuhan.

Tanam delima dekat pesisir,
Mempelam berbuah ada sebabnya;
Malam pertama untuk yang terakhir,
Alam barzah betapa gelapnya.

Pak Uteh menyiang siakap laut,
Udang kertas selayang cangkir;
Kasih sayang tetap bertaut,
Hingga ke nafas yang terakhir.

Malam berpetir tunggu di taman,
Suluh siput dekat seplastik;
Salam terakhir lagu Sudirman,
Penuh bermaksud tersirat lirik.

Gelas besar kain dialas,
Nasi dimakan bercampur pasir;
Malas belajar main di kelas,
Kelak kedudukan dinombor terakhir.

Rasa rendang pedas dibibir,
Cengkih dicampur buah pelaga;
Wajah ku pandang kali terakhir,
Masih subur di jiwa raga.

Putera menyanyi si lagu bandung,
Duduklah ia menyembah puteri;
Dunia kini di akhir penhujung,
Eloklah jua muhasabah diri.

Timun sekepal sipucuk putat;
Mencari sukun di pasar Dungun;
Pantun janggal bersulam cacat,
Jari bersusun kemaafan ku pohon.



Sambil membaca pantun Ummi, persilakan dengan pantun anda yang indah-indah, nampaknya ramai yang memiliki bakat menyulam pantun =D, disamping itu marilah kita mengadun lagu nostalgia halwa telinga...sambil berpantun di teratak hamba yang tidak seberapa...terimakasih haruman kasturi buat rakan-rakan pemantun saudara saudari kerana selalu menghadirkan diri....terharu rasa di hati, sekalung bunga buat anda semua. Tanpa anda  Ummi bukanlah siapa-siapa.. sekian, salam teramat manis sibuah delima buat semua.... =D



Kalam berpena....

UmmiAin


23 comments:

  1. Salam terakhir buat kak umi utk malam ini...

    Penuh kemeriahan diraya Cina
    Bunyi berdentum disana sini
    Main mercun bilakah akhirnya
    saya nak tidkur pun, suaah sekali

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam terakhir buat Hairul juga untuk malam ini ya :D

      Bertenun kain di pekan hilir,
      Kuduplah bunga hiasan puteri;
      Mercun dimain takkan berakhir,
      Tutuplah telinga kanan dan kiri.

      Delete
    2. Tanam ubi di tepi jalan,
      Jalan raya batu kelikir;
      Hari ini sudahlah aman,
      Raya Cina sudah berakhir.

      Delete
    3. Gaya pesona panglima Hang lekir,
      Menyanyi lagu gurindam Do Re Me;
      Raya Cina sudah berakhir,
      Kini menunggu malam Cap Go Me.=D

      Delete
  2. Kembali ke sini semula....

    Angun menawan puteri Mat Tahir,
    Bijak bersembang pandai berborak;
    Kusangga pantun sudah berakhir,
    Rupanya tidak semakin marak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terlena di pangkin pulun berzikir,
      Disengat tebuan merahnya pipi;
      Mana mungkin pantun berakhir,
      Semangat tuan semua penyala api.=D

      Delete
  3. Tajuk entri agak suspen. Takkan la nak berhenti berpantun pulak kan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Biru celana terkena pen,
      Badan lencun titis-titisan;
      Keliru kerana tema suspen,
      Akan ku pantun habis-habisan.=D

      Delete
  4. Hai Ummikami.. selamat malam :)

    Jalan-jalan di dalam taman,
    Nampak seekor anak tapir,
    Kusangka Ummi sudah resign,
    Rupanya cuti baru berakhir..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Donny! Selamat malam buat anda juga =D

      Hangat bukan sebarang hangat,
      Hangat mercun kerana petir;
      Semangat bukan sebarang semangat,
      Semangat berpantun belum berakhir.


      Delete
  5. Bunga api mercun naga
    Meriahnya depa raya Cina
    Kita hidup 1 Malaysia
    Bersatu padu amalan mulia

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bunga raffelsia berselang markisa,
      Dekat batu kudup kuini;
      Negara Malaysia berbilang bangsa,
      Rakyat bersatu hidup harmoni.

      Delete
  6. Assalamualaikum Ummi...
    Tidak! Oh tidak...lain kali jgn buat tajuk yg mampu menghentikan jantung... Hehe...

    Indah bukan pada zahir,
    Didalam hati di kau ku seru,
    Rupanya bukan pantun terakhir,
    Terakhir tanda semangat baru.

    Setiap yang hidup pastikan mati,
    Setiap yang bermula pastikan berakhir,
    Hanya Allah yang kekal abadi,
    Bersujud kita padaNya banyakkan berzikir.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam Tuan Bernama... =)

      Makan timun berhiris-hirisan,
      Kuah kari berkelapa parut;
      Akan ku pantun habis-habisan,
      Selagi jari menjadi pak turut.

      Keringat turun di celahan pasir,
      Batu kelikir terbelah lima;
      Semangat berpantun bagaikan zikir,
      Pantun terakhir hanyalah tema.

      Bapa menjala di malam petir,
      Bersua di muara haluan tepi;
      Ada mula dan juga akhir,
      Semua perkara ketentuan Illahi.

      Delete
  7. Nabi Muhammad rasul terakhir,
    Samalah kita ikuti ajarannya,
    Moga bila sampai masa terakhir,
    Kita sentiasa di bawah lindunganNya

    ReplyDelete
    Replies

    1. Ada tapir mati seminggu,
      Hingga mencengkam bau menjamah;
      Masa terakhir pasti menunggu,
      Semoga di dalam husnul khotimah.

      Delete
  8. Jalan-jalan mencari ikan bakar,
    Bermain sebentar di dalam taman,
    Serius! Hamba sangkakan ini yang terakhir,
    Rupanya peringatan daripada seorang teman.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buah kecut si buah mangga,
      Timun secangkir di belah lima;
      Usah terkejut usah curiga,
      Pantun Terakhir hanyalah tema... =D

      Delete
  9. Tukul pahat si tukang ukir,
    Memahat ukiran di pohon sena,
    Hidup di dunia akan berakhir,
    Akhirat jua yang kekal di sana..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tutup gua kerana petir,
      Lega kerana pelangi terserlah;
      Hidup di dunia akan berakhir,
      Moga kita dilindungi Allah.

      Delete

    2. Teduh senja terpaksa menanti,
      Turun ke labuan singgah ke Melaka;
      Sungguh teruja rasa di hati,
      Pantun tuan indah-indah belaka. =D

      Delete
  10. ummi ada lagi pantun selain itukah? kalau ada saya mahu untuk hari terakhir persekolahan

    ReplyDelete
  11. assalammualaikum..
    ummi boley x sye dptkn pantun pasal "cuti akhir tahun"

    ~terima kasih~

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^