Friday, February 8, 2013

Pantun Kalau Dah Jodoh...







Salam manis dalam hujan gerimis. Ummi menulis tersenyum habis....apa khabar tuan dan puan, semoga sihat dalam keceriaan, dalam mencari ilham berpantun, ramai yang dah bijak dan pandai mengadun...aduhai, sukanya tidak terkata, pantun kini semakin disuka....haa, tema kali ini untuk orang yang sedang mencari jodoh, yang belum berjodoh tapi masih malu-malu tak berani...apa ditunggu apa dinanti, sudah berhajat baiklah didekatkan.

Buat adik-adik yang sudah ada calon, sampai masa pasti berjodoh juga insyaAllah....rajin bersolat hajat dan istikharah, insyaAllah pasti petunjuk diberi Allah...haa, jangan tunggu lama-lama nanti mata buta kerana airmata...apapun bersiap sedialah and get yourself well prepared ( nak cakap omputeh dah ni..hehe ), dari segi mental dan fisikal..ya...buat adik-adik, yang bujang-bujang, orang-orang lama juga tak ketinggalan...

Senyum selalu...na :D

Jom kita berpantun... apa ditunggu apa dinanti, kalau lama-lama diri sendiri yang rugi..jangan marah na.. :D


Hodoh bukan sebarang hodoh,
Hodoh berilmu segan memberi;
Jodoh bukan sebarang jodoh,
Jodoh bertemu dengan tuan puteri.

Subuh ke masjid hendak mengazan,
Memakai jubah merah warnanya;
Jodoh tercatit qada’ dan ketentuan,
Bersyukur sembah pasrah kepadaNya.

Samarahan Sibu sudahpun maju,
Jarang jua mahunya menghala;
Pilihan ibu pasrah dan setuju,
Orang tua tahunya segala.

Senang kukurnya sebiji kelapa,
Seringgit kerang sekati santan;
Meminang ukurnya ilmu di dada,
Duit kurang cari perlahan-lahan.

Makan pinang berlapik sirih,
Kelat sedikit tepi rekahan;
Bukan senang merisik kasih,
Kalau duit jadi taruhan.

Runtun Pak Tua kerana sejuk,
Lelah mencari ularnya sawa;
Mohon doa minta petunjuk,
Allah beri sesuainya jiwa.

Basah baju pergi berenang,
Biar nanti mahu berjumpa;
Resah ibu keluar meminang,
Debar hati tak tahu siapa.

Walau jauh di hutan sana,
Berhari-hari menunggu si dia;
Kalau jodoh ,takkan kemana,
Cari tak cari ketemu jua.

Sudu selasih mulut menganga,
Selera ulaman balun berpinggan;
Merindu kasih bertaut sang bunga,
Dara idaman calun harapan.

Tercucuk mata kelam sepetang,
Menyandang raga ada durian;
Pucuk dicita, ulam mendatang,
Bertandang juga teruna impian.

Tadah air curahan timba,
Bubuh ramuan dengan bancuhan;
Sudah ditakdir akan terjumpa,
Jodoh pertemuan ditangan Tuhan,

Belum tumbang helang terbangan,
Helang terbangan mati berangan;
Kuntum kembang hilang ditangan,
Hilang ditangan dihati jangan

Tumpang sembunyi berhati-hati,
Gelap berteduh berminggu-minggu;
Kompang berbunyi di dalam hati,
Mengharap jodoh lama menunggu.

Walau dicucuh api memercik,
Padam juga tiada nyalanya,
Kalau dah jodoh beristeri cantik,
Di dalam redha apa adanya.

Kerbau berteduh di tepi taman,
Mati tercekik kerana tertelan;
Walau hodoh dihiasi iman,
Pasti cantik di matanya Tuhan.

Batik Ipoh di pekan jualan,
Beli nanti mesti dipakai;
Cantik hodoh bukan persoalan,
Budi pekerti menjadi sampai.


Kompang dah berbunyi tu..tapi dalam alam mimpi, moga-moga mimpi menjadi. Kepada orang-orang bujang, dan yang ingin membina masjid, penuhkan dadamu dengan ilmu dan niat keikhlasanmu barulah membuka hajat berunding dekat...insyaAllah kalau dah jodoh takkan ke mana-mana.  Pokoknya jangan tunggu lama-lama kalau dah bersedia...mula 1..2...3..  Sekian sahaja warkah pantun secebis sutera dari Ummi.. seandai jariku sakit dalam lembaran yang beberapa hari berselang...maaf berjuraian hujan, jangan mara na.. salam manis
dari Ummi. =D

Makan ketumbar baru diambil,
Paku pakis emak masakkan;
Bukan pakar bukan pula ahlil,
Pantunku secebis berlemak santan.


Kalam berpena...

UmmiAin


32 comments:

  1. Assalamualaikum Ummi...

    Alamak...isu berat ni. Jodoh pertemuan di tangan tuhan... Berpisah juga adalah takdir tuhan.
    Semoga jodoh terikat hingga ke syurga...

    Bercinta bertunang belum terjamin',
    Kerana jodoh pertemuan ditangan tuhan,
    Berkat usaha dan doa tidak terhingga,
    Akhirnya bersatu di atas pelamin,
    Saling memahami jadi asas ikatan,
    Agar ikatan kekal hingga ke syurga.

    Betul ke pantun 6 kerat nie? Kalau salah tolong tunjukkan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam wbt..

      Bubuh ramuan bahan racikan,
      Bilah pisau tajam membawa;
      Jodoh pertemuan Tuhan tentukan,
      Usah risau bersulam kecewa.


      Kuali hangus kuahnya pekat,
      Ikan bilis dicampur sayuran;
      Dibubuh ramuan petai dan peria;
      Sekali putus kata sepakat,
      Lancar majlis mengikut aturan,
      Jodoh pertemuan di mahligai bahagia.


      Lantai buluh kian menurun,
      Turun membelah tepi terbuka;
      Pandai sungguh tuan berpantun,
      Pantun indah seri jejaka.

      Terimakasih tuan hamba.. =D

      Delete
  2. Kebaya labuh berbunga biru,
    Bunga senduduk tepi tangga;
    Mencari jodoh usah keliru,
    Minta petunjuk yang maha Esa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kebaya labuh berbatu belah,
      Kembar dua bersantun duduk;
      Percaya jodoh ditentu Allah,
      Sabar dan doa mohon petunjuk.

      Delete
  3. Salam pengantin baru buat anak kak ummi sbb saya nak datang meminang.. heeeeee

    Dalam Tidur Dibuai Mimpi
    Isteri Ku Ramping Bagai Bidadari
    Jodoh dan Rezeki Ketentuan Ilahi
    Bersyukurlah dgn apa yg diberi



    ReplyDelete
    Replies
    1. Semalam melurut rotan sebatang,
      Terkena onak di paku selumbar;
      Salam bersambut bukan menentang,
      Kerana anak masih belajar. =D

      Delete
    2. Melepuh kaki meredah taji,
      Paha merah terasa melecur;
      Jodoh dan rezeki sudah dijanji,
      Redha dan pasrah sentiasa bersyukur.

      Delete
  4. Datang utk berpantun di sini yer ummi~

    Perkara hitam kita jauhi,
    Mencari sinar untuk yang empunya,
    Jodoh takdir kurniaan Ilahi,
    Segala yg berlaku ada hikmahnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan... =D

      Bubuh air basahan dahi,
      Lemah menangis ada ubatnya;
      Jodoh takdir kurniaan Ilahi,
      Hikmah tertulis ada rahmatnya.

      Delete
  5. Salam, semuanya berpantun. Maaf tuan rumah saya tidak reti berpantun.

    Jodoh adalah satu persoalan yang komplek pada pandangan saya. Sukar untuk kita menghakimi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam wbt... =)

      Jari melepoh janganlah gundah,
      Sampai merah terkena cucuk;
      Mencari jodoh bukanlah mudah,
      Ikhtiar dan istikharah minta petunjuk.

      Delete
  6. Replies
    1. Garau banyak perkara garau,
      Garau suara bermacam pesyen;
      Gurau banyak perkara gurau,
      Bergurau sentiasa menghilangkan tensen. hehe

      Delete
  7. harap mama yang sentimental letak link saya diside bar yer

    ReplyDelete
  8. Assalamu`alaikum Ain, pertama kali sampai di sini. Tak sangkat masih ada lagi yang berminat menulis pantun di dalam blog. Tahniah kerana masih meneruskan dan menyuburkan budaya ini.

    Mencari baldu sampai ke seberang,
    Untuk dipakai bertandang ke Istana,
    Dari jauh hamba datang,
    Membaca pantun pengubat lara.

    Salam perkenalan daripada saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Datang semalam Si Mama Murai,
      Lenggang membawa sebungkus mercun;
      Wa'alaikumsalam kenalah reply,
      Memang kena dan genius berpantun. =D

      Delima putih buahnya di titi,
      Makan durian di pasar karat;
      Terimakasih serendahnya hati,
      Kunjungan puan membakar semangat...

      Salam ukhwah dan salam perkenalan buat Mama juga =D





      Delete
    2. Duduk bersimpuh si tuan puteri,
      Menunggu putera dari kayangan,
      Usah diabai jati diri,
      kelak hilang ditinggal zaman.

      Delete
    3. Menanti puteri di tepi pantai,
      Hajat bersama duduk di taman;
      Jati diri menjadi pakai,
      Nasihat Mama ku buat pedoman.

      Delete
  9. Pantun budi pantun ilmu,
    sangat digemari zaman dahulu,
    jodoh ada hatipun mahu,
    doakan kami agar bertemu.

    ReplyDelete
    Replies

    1. Adun bahan barulah dijamu,
      Nasi dimakan bersama papaya;
      Calon pilihan sudah bertemu,
      Ummi doakan semoga berjaya.=D

      Delete
  10. adik malu tersipu sipu
    harap ada sabar menuggu
    sabar dan menunggu
    itulah adat bakal bersatu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lebar titi menutup batu,
      Hingga buaya tak dapat berenang;
      Sabar menanti untuk bersatu,
      Moga berjaya hatipun senang.

      Delete
  11. hamba berdagang merantau jauh
    sambil berjalan makan sireh
    penat mulu belajar mengunyah
    harap isinya tidak tersembuh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Makan sireh dikunyah hancur,
      Berderap gigi di dalam mulut;
      Badan berkasih entahkan subur,
      Harap hati lama terpaut.

      Delete
  12. kalau sungguh jodoh dicari
    jodoh ada jangan terlalu mencari
    bukan merancang tapi hati tak pasti
    harap ini akan kekal abadi

    ReplyDelete
    Replies


    1. Pekan Penanti di Pulau Pinang,
      Lama berteduh berbekal ubi;
      Walau hati tidak merancang,
      Semoga jodoh kekal abadi.

      Delete
  13. mmm.. sy pon x pandai berpantun.. kira singgah tanpa pantun la ni yer... heheheh

    satu dua tiga empat
    dah tak pandai apa mau buat...hehehehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cenderawasih mati di titi,
      Merpati turun terkena jerat;
      Terimakasih berpeti-peti,
      Mesti berpantun walaupun sekerat.. hehe

      p/s: anyway tq sebab sudi singgah =D

      Delete
  14. Bf : Burung Gagak Makan Apple, agak-agak bila nk couple
    GF : Burung awak kaler purple , xnk la muke da lar ade pimple
    BF : nasi xdingin pinggan xretak , kalau kau xhingin aku pon xbatak!!!

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^