Thursday, February 14, 2013

Pantun Jiwang Orang Lama..

Salam hormat semanis gula gerimis hari...

Semoga para pembaca dan pemantun budiman sentiasa di dalam kasih sayang Allah swt...amin, dan ssangat bersemangat untuk berpantun dengan Ummi walaupun pantun sekerat atau dua kerat..seandainya sudi.. =)
kali ini entrinya santai dan menghiburkan, tentang JIWANG ORANG LAMA, haha, siapa kata orang lama tak pandai bercinta, malah lebih berpengalaman dan lebih manis-manis garam..katanya.  Kalau nak tahu, jiwang orang lama sungguh telus dan mulus, tapi tiada terus, tak seperti sesetengah orang muda yang di alam cinta...direct speaking and direct selling...haha, tudiaa....pantun Ummi kali ini hanya hiburan untuk dibaca, bukan niat untuk dituju pada sesiapa......jangan marah haa.. ( versi P. Ramlee ) =D

Jom kita berpantun....sama-sama kita turun, jangan malu dan jangan segan, bukan paksaan, tapi memang pantun kena dicuba-cubakan, tapi bukan cobaan ya, haha....dipersilakan rakan-rakan Ummi sekelian.... =D




Silau kejora malam sekata,
Terang purnama embun berderai;
Kalau bersuara dalam bercinta,
Orang lama-lama pun pandai. =)

Bawang dikupas direndam bihun,
Kelapa bersabut belahnya tahu;
Jiwang emas bersulam pantun,
Siapa disebut salahnya mahu.

Putih delima dibekal nyonya,
Jala dibawa ke pantai Tanjung;
Kasih lama mahal harganya,
Rela bersama sampai penghujung.

Tinjau merbah di tapak bendang;
Selisih bayang sekawan merpati;
Walau tak indah nampak dipandang,
Kasih dan sayang bauan sejati.

Ada keladi pangkalnya lima,
Menanti sukun entahnya gugur;
Cinta abadi kekalnya lama,
Berganti tahun kasihnya luhur.

Mengapa mata terasa ngilu,
Terang purnama memakai kanta;
Siapa kata tiada cemburu,
Orang lama pandai bercinta.

Limau diangkat jualan bertahan,
Pesona kuini habis semua;
Walau bertongkat jalan perlahan,
Ke sana sini menangis berdua.

Sakitnya bahu terkenalah bisa,
Sekarang cuma ketar dan sejuk;
Hatinya tahu dan mudah terasa,
Orang lama sukar dipujuk.

Benang dibawa rungkai-rungkaikan,
Karang bersama putus terpaksa;
Tenang jiwa sampai-sampaikan,
Orang lama halus bahasa.

Kalau bersua setimbun tanduk,
Diikat selisih dibiarkan satu;
Walau tua walaupun busuk,
Ku pahat kasih bagaikan tatoo.

Ikan gelama dibungkus rapi,
Siput sedut geli disentuh;
Orang lama harus dihargai,
Patut diikut menjadi contoh.

Kebab sebelah sama mentimun,
Karipap lemak diumpil inti;
Silap dan salah hamba berpantun,
Harap tidak diambil hati.


Kepada orang lama tak ketinggalan yang setengah lama dan tak lupa juga buat orang muda yang Ummi hormati, yang budiman, pastikan anda tidak ketinggalan untuk berpantun dan terus berpantun..siapa kata orang lama tak ada jiwa, jiwang orang lama adalah jiwang pertama... Ummi pun rasa macam orang lama tapi..masih remaja purba...sama kan...haha, sekian, dariku untuk anda sekelian.  Ummi pasti ramai yang bijak berpantun jiwang orang lama...dipersilakan sekelian berpantun walaupun sekerat dua.  

Salam manis dari Ummi, yang cacat dan cela dariku dan yang terbaik dariNYA.....semoga terhibur ya.. =D



Kalam berpena...

UmmiAin

17 comments:

  1. salam jiwang buat kak umi sekeluarga.

    Dua mempelai berkasih sayang
    di dalam kamar tempat beradu
    Cinta abadi buat tersayang
    Sepanjang hayat, setia disisimu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalammm.. =)

      Tayang sinyonya berkain jarang,
      Bangga rambut berbunga kecubung;
      Sayang hanya suami seorang,
      Moga bertaut hingga ke penghujung.

      Delete
  2. Assalamualaikum Ummi,
    Amboi...penangan orang lama bercinta
    Jiwang le pula...

    Orang dulu bercinta memang jiwang gila,
    Tetapi tahu menjaga batas, adap tatasusila.

    Orang dulu hanya menurut kata orang tua...

    Pukat koyak dilanggar todak,
    Sedih hati tidak terkata,
    Kenal tidak bersua pun tidak,
    Kahwin dulu baru bercinta.

    Berkilau sinar intan permata,
    Nilainya tinggi amat berharga,
    Orang lama jiwang bercinta,
    Kekal abadi hingga ke syurga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam cek.. =D

      Amboi..pandainya dia berpantun..ada klas la =)

      Perang berbulu si ayam serama,
      Dipagi buta menangkap tupai;
      Orang dulu dan orang lama,
      Bila bercinta adab dipakai.

      Cincin batu permata berlian;
      Belah bersawang terang purnama;
      Kahwin dulu bercinta kemudian,
      Itulah jiwang si orang lama.

      Pagi berhujan mendung membawa,
      Gundah semua mengharap henti;
      Selagi badan berkandung nyawa,
      Walau dah tua tetap di hati.

      p/s : Terimakasih kerana selalu berpantun di blog Ummi =D

      Delete
    2. Salam Ummi...
      Saye xpandai berpantun, kalau mengarang dekat 20 minit baru siap satu... Tapi cabaran tu yg saya suke...

      Gadis dulu sopan dan santun,
      Jika bercinta manakan bersua,
      Bukan mudah mengarang pantun,
      Kerana ummi ku turutkan jua.

      Delete
    3. Wslm kembali...terimakasih buat kedua kali =D

      Siapa kata anda tak pandai berpantun, semua pantunmu indah-indah belaka...

      Cucuh gaharu baunya asap,
      Terkena sumbu jari terluka;
      Sungguh terharu dalam mengharap,
      Kerana pantunmu seri jejaka. =D

      Delete
  3. Bawa benih pergi ke huma,
    Mahu ditanam padi baharu;
    Mendalam kasih orang lama,
    Biar berzaman tak bertemu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam hormat cikgu :)

      Tanam benih di seberang huma,
      Lebat delima dahan bertemu;
      Mendalam kasih si orang lama,
      Berabad bersama tidakkan jemu.

      Delete
    2. p/s; Terimakasih kerana tak jemu berpantun yang indah-indah di blog Ummi =D

      Delete
    3. Assalamualaikum...

      Berbaju kebaya kerongsang suasa,
      Hiasan indah dari kedah,
      Orang lama berbudi bahasa,
      Menyulam cinta penuh bermadah.

      Delete
    4. Wa'alaikumsalam semanis madu :)

      Bersiang gelama dikata plata,
      Garam bersulah gunanya sebungkus;
      Orang lama berbahasa cinta,
      Bersulam madah bahasanya halus.

      Delete
  4. Cinta tak mengenal usia, tua atau muda. Yang penting kita yg mengemudikannya, kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terkena bisa rasa di bahu,
      Wayar sekepal merenjat sendi;
      Muda tua bercinta tahu,
      Belayar kapal kuat kemudi.=)

      Delete
  5. assalam, salam ukhuwah dari bunda...cantik blog ummi ni..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Senyum semalam Bunda bersemi,
      Berseri nampaknya berkain chiffon;
      Wa'alaikumsalam kepada Ummi,
      Bersudi hendaknya bermain pantun. =)

      p/s ; A'laikumsalam, salam perkenalan buat Bunda juga.. =D

      Delete
  6. hai UmmiKami.. selamat malam.

    Mata sepet bukan orang cina,
    Di bawah bayu asal usulku,
    Mari semarakkan semangat 1Malaysia,
    Lama dan baru terus bersatu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hullo Donny... selamat malam to u too =)

      Belah peria bersilang markisa,
      Lada dimayang sampainya lumat;
      Satu Malaysia berbilang bangsa,
      Muda disayang tuanya dihurmat.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^