Sunday, February 3, 2013

Pantun Duit Oh Duit...


Assalamu'alaikum, salam sejahtera dan salam manis remaja purba buat rakan-rakan, haha, adik-adik pemantun, abang-abang yang budiman serta kakak-kakak yang rata-rata memang pandai menyulam pantun-pantun yang indah-indah...

Kali ini Ummi dengan 'gap' yang segenggam hari membawa anda ke tajuk tentang DUIT.....kerana duit hati pun tak senang, kalau berduit jahat pun jadinya baik....pada pendapat Ummi duit ada dua kepentingan, yang satu pentingnya duit untuk perbelanjaan kehidupan seharian, yang satu lagi umpama kuasa yang merangkul segalanya termasuk kasih sayang, kawan, pekerjaan dan kepentingan diri atau apa saja yang memerlukan duit...

Kalau tak ada duit jangan kawin, kalau berduit lebih eloklah bertanam ehsan dalam jiwa untuk bersedekah dan membantu orang yang susah....fikir-fikirkanlah ya..


Seandainya...

Bunga duit,,

Kalau nak tahu..nilah pokok duit-duit,..,,rasa macam nak petik pulakk... =D

Duit tumbuh dengan banyaknya di pokok...hehe


Jom kita berpantun....anda boleh, apa pun boleh... =D


Sakit pedih mengupas bawang,
Masak lasagna makan bercelup;
Duit pitih ongkos atau wang, 
Banyak mana pun tidakkan cukup. 

Minyak dicalit melecur kulit,
Kulit sakit terkena racun;
Banyak terselit bercampur sulit,
Duit di poket menjadi pohon.

Papan basah kerana tergenang, 
Salah perahu terbiar di paya; 
Nak simpan susah habisnya senang, 
Manalah mahu bertukar kaya. 

Pangkin sampan bertukar rakit, 
Jala serong tangan memerah; 
Semakin disimpan menjadi bukit, 
Bila menggunung jangan ditarah. 

Hentak papan bertimbun paku, 
Baja sekampit ditabur lebih;
Anak lapan bersusun bangku,
Belanja duit badan pun letih. 

Todak dan merlin menggegar joran,
Redup lautan menuju rembang;
Hendak kahwin bayar ansuran,
Cukup bulan saku berlubang. 

Hujan senja guruh di langit, 
Gerimis sedikit dekat seminggu, 
Sakan berbelanja tak ikut limit, 
Habis duit menongkat dagu.

Bunga rampai songketnya bandung,
Merah sedikit dekat luaran;
Hutang tak selesai poketnya kosong,
Carilah duit buat bayaran.

Kelapa sawit jangan dikait, 
Menjadi bumbung di sangkar alam; 
Tiada berduit badan pun sakit, 
Budi segunung bertukar segenggam.

Bukit Berapit jejak bertapa,
Bekal dibawa si pisang salai;
Duit sedikit tidak mengapa,
Asal jiwa senang memakai.

Anak serindit basah di guri,
Catuk petola merata-rata;
Duit seringgit susah dicari,
Inikan pula berjuta-juta.

Perahu pukal menuju haluan,
Kemudi rakit patah sampainya;
Mahu menyoal padamu tuan,
Budi dan duit samakah nilainya.

Harimau tersepit tulang rusuknya,
Sudah terbuka sekerat isinya;
Kalau berduit hilang buruknya,
Bila takada jahat sampainya.

Sakit sedikit sudah terbiasa,
Disengat keli alah bisanya;
Duit beringgit mungkinkah berkuasa,
Dapat membeli segala-galanya.

Siapa terkena sakit di mata,
Ubat lemuju dibubuh setitik;
Apa guna duit berjuta,
Andai budimu tidaklah cantik.

Suara pipit halus dan sedih,
Terbangnya sejengkal di pohon rimbun;
Ceritera duit ongkos dan pitih,
Andainya janggal mohon diampun.

Air kelodak serata pekan, 
Turun hujan di malam minggu;
Sindir tidak mengata pun bukan,
Pantun hiburan bersulam lagu.

Keladi birah direbus sedikit,
Dibuat rampai umpan tenggiri,
Berhati-hatilah mengurus duit,
Jangan sampai memakan diri,

Berkaki satu langkah kenari,
Kurus dada merah bercampur;
Rezeki ditentu Allah yang beri,
Harus redha pasrah bersyukur.

Begitulah cerita duit, wang, ongkos, pitih ataupun 'money'..dapatkah duit membeli kehidupan dunia...
katakanlah....DUIT SERIYAL berapa harganya.. =D oh..DUIT DI MANA KAU DUIT....DOLLAR pun dia jugak bukan, sekian buat kali ini...semoga terus menghiasi teratak ini dengan sulaman-sulaman pantun yang indah-indah......dipersilakan click perkataan yang berhuruf besar tuu....pasti mencuit hati... :D

Salam manis dari Ummi   =D



Kalam berpena...

UmmiAin


32 comments:

  1. pergi bank menyimpan duit,
    duit disimpan dengan senyuman,
    tidaklah banyak tidaklah sedikit,
    agar ia menjadi amalan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perahu diikat di batang sawit,
      Jala diperah jejaka tampan;
      Selalu beringat menyimpan duit,
      Semoga cerah masa hadapan.

      Delete
    2. tetikus ditekan dengan cermatnya,
      papan kekunci berbunyi-bunyi,
      terima kasih atas pesannya,
      harap dapat menjadi suami.

      ini kes dari blog tehR hahaha

      Delete
    3. Tali jerami sudah di bubuh,
      Dibelah-belah diikat nyonya;
      Menjadi suami kalau dah jodoh,
      InsyaAllah berkat doanya. =D

      Delete
  2. duit semua blh bt bahagia tapi tak smua jadi bgtu heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Papaya dimakan pesona sweet,
      Ulaman dipetik pucuk pegaga;
      Bahagia bukan kerana duit,
      Iman yang cantik dipagari Syurga.=D

      Delete
  3. sedap lagu p remlee tu.slu bukak kt pjbr blog kak tak der spker heee ni kt umh degau sedap pula

    ReplyDelete
    Replies
    1. Suri suka dengar lagu P.Ramlee yer.. =D

      Petir meruntun malam bergema,
      Berselang seli di ufuk rimba;
      Air pantun bersulam irama,
      Lagu P.Ramlee feveret hamba.

      Delete
  4. hai ummi.. slmt mlm,
    duit boleh buat kita bahagia dan juga menderita...


    ikan keli menari-nari,
    anak kucing tidur lena
    kerana duit hidup berseri
    kerana duit jiwa merana

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Donny, selamat malam to you too... =D

      Cuit bunga tua pesona,
      Kudup peria gugurnya merata;
      Duit punya dua kerana,
      Hidup bahagia kembarnya derita.

      Delete
  5. Pokok duit2 ada khasiatnya
    buat penawar di hari tua
    mencari duit biarlah berpada
    keberkatan duit jangan dilupa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sakit dijari merah bertanda,
      Tangan mama mengurut lesu;
      Duit dicari biarlah berpada,
      Jangan cuma menurut nafsu.

      Delete
  6. Cari duit hari-hari,
    Buat makan buat belanja;
    Habis sakit tangan kaki,
    Masih juga tak kaya-kaya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Luka kulit terkena tangki,
      Paha pedih di sapu minyak;
      Habis sakit tangan dan kaki,
      Usaha lebih duit pun banyak.

      Delete
  7. Salam Ummi..
    Kepentingan duniawi ketika ini, itulah Duit!
    Sekadar ingatan bersama... Duit bukanlah bekalan yg akan dibawa untuk kita menuju ke alam abadi. Ianya hanya keperluan di dunia yg sementara. Jangan jadi hamba duit, jadilah hamba kepada Allah...tuhan yg Esa.

    Kaki dan tangan terasa sakit,
    Kerana bekerja tidak berhenti,
    Susah hati jika tidak berduit,
    Banyakkan amalan tenanglah hati.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam tuan bernama.. =)

      Jadi hambaNya itu yang utama, peringatan yang istimewa, insyaAllah..terimakasih =D

      Bawah peti lada sekampit,
      Keladi birah dimasak dadih;
      Susah hati tiada berduit,
      Doa dan pasrah usaha nak lebih.

      Delete
  8. dulu masa kecik2, mak saya rajin buat bunga duit, kapal duit dan bermacam lagi... skrg dah tak nampak pulak....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cepat sakit rasa terkucil,
      Batu karang sudah berkumpul;
      Melihat duit di masa kecil,
      Yang mana satu pilihan Hairul. =D

      Delete
    2. Ikan emas Ikan kelisa
      Cantik lagi si dia
      Melihat Duit Diatas meja
      Ku ambil sikit buat beli gula-gula

      Delete

    3. Sakit tekak malas bekerja,
      Kena penyakit diabetes kedua;
      Duit diletak di atas meja,
      Diambil sedikit habis semua. =)

      Delete
  9. Replies
    1. Kelam merah cahaya kabut,
      Pesona dian penyeri hari;
      Salam ziarah saya menyambut,
      Kerana tuan sudi kemari.=D

      Delete
  10. Anak muda jumpa matair,
    Siap berhias pakai seluar;
    Duit itu seperti air,
    Sentiasa masuk dan keluar.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pantai berbukit sarat mengalir,
      Senja cerah berteman teruna;
      Andai duit ibarat air,
      Berbelanjalah dengan bijaksana. =)

      Delete
  11. Duit oh duit
    Seposen jadi seringgit
    Ramai yang bising bingit
    Kerna duit seringgit

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gulai sedikit sedang direneh,
      Lada sebesen lagi digigit;
      Nilai duit dipandang remeh,
      Tak ada seposen tak jadi seringgit.

      Delete
    2. Duit seringgit dikumpul gigih
      Buat tabungan di hari tua
      Duit seposen jgn disisih
      Nanti diri yang merana

      Delete
    3. Sedikit kerinting lama guntingnya,
      Buka sanggul sampai terlena;
      Duit syiling sama pentingnya,
      Bila dikumpul pakai berguna.

      Delete
  12. Pokok duit-duit ini selalu jumpa ketika kecil. Sekarang ini sudah sudah hendak jumpa. Mungkin generasi sekarang tak kenal pun pokok ini.

    ReplyDelete
    Replies

    1. Burung serindit matinya cepat,
      Harimau tinggal matanya buta;
      Pohon duit-duit jadinya ubat,
      Kalau tak kenal maka tak cinta. =D

      Delete
  13. Nak minta tolong bagi idea nak buat pantun untuk subjek sastera ..tema amalan menabung

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^