Friday, February 22, 2013

Pantun Bisikan Hati...

Salam hormat buat teman-teman dari jauh ku layangkan....sentiasa tersenyum dalam penantian, khabar dan doa sentiasa ku tadahkan....marilah bersama kita rangkapkan, pantun Melayu pantun warisan...haha,
janganlah malu dan janganlah segan, kalau tak tahu buat rujukan, ahlil berpantun banyak kedapatan...
pantun warisan dalam jagaan, anak muda beri alasan, Melayu Cina India Sarawakian dan Sabahan...

Banyak tema boleh dirangkumkan, kali ini BISIKAN HATI jadi mainan...apakah bisikan hati anda sekelian,
serangkap pantun cuba luahkan....jangan hanya bisikan hati untuk bercinta dara pujaan, yang lebih utama adalah BISIKAN HATI untuk ke arah kebaikan...fikir-fikir dan renung-renungkan, hindarkanlah dari BISIKAN SYAITAN !



Gapo dio...

Usah dengar bisikan syaitan...!


Jom kita berpantun ya... :D


Santun persada adat warisan,
Tema bahagia BISIKAN HATI,
Pantun anda ku buat hiasan,
Irama nostalgia pastikan menanti.

Salam diungkap bertenun suara,
Bisikan hati menjadi pengalas;
Dalam bercakap pantun berbicara,
Akan pasti sudi berbalas.

Di tepi tasik sang puteri menari,
Menadah bijana menyapa perahu;
Hati membisik dari naluri,
Gundah gulana siapa yang tahu.

Sedap dipandang buatan seni,
Dahan jati berpasak bakau;
Tetap bertandang ingatan murni,
Bisikan hati si anak rantau.

Berbulan menanti pekasam ikan,
Bersudu sayur maung selasih;
Bisikan hati karam di lautan,
Rindu bertabur di lambung kasih.

Setangkai timun hendak dimasak,
Makan cili bersudu kerangan;
Ku intai-intai namun tak nampak,
Bisikan hati rindu bayangan.

Tekad peniti di kain baldu,
Jambangan dilekat ada bergaya;
Hajat hati ingin membantu,
Tangan ku cacat tiada berdaya.

Ikan mati terkena asid,
Bertemu belida di bawah sungkup;
Bisikan hati membina masjid,
Ilmu di dada belumlah cukup.

Dahan meranti tumbuh mempelam,
Hajat Tok Baba menjamah beri;
Bisikan hati di separuh malam,
Munajat hamba istiqomah diri.

Entah bukan pedati lembu,
Hendak disuruh tak izin pula;
Dengarlah bisikan hati ibu,
Anak yang jauh teringin berjumpa.

Ke Pekan Penanti bersolat Dhuha,
Sedikit terang mengusung waktu;
Bisikan hati bonda yang tua,
Sakit seorang menanggung rindu.

Tarah kayu di depan hutan,
Petik cemara di titi pinang;
Marah itu bisikan syaitan,
Cantik bicara berhati tenang.

Bersuap makan berulam sayuran,
Sekejap durian kedondong jamahnya;
Setiap tindakan bersulam aturan,
Setiap kejadian terkandung hikmahnya.

Di tepi tasik menunggu bekal,
Santun Pak Tani anak siapa;
Hati membisik seribu soal,
Pantun ku ini tidak seberapa.

Putih kasa berikat sendat,
Skaf dipakai hampir ke pipi;
Terkalih bahasa bersekat adat,
Maaf ku sampai secangkir kopi.


Manis-manis bergaram, bisikan hati dalam terpendam....berbagai macam berbagai ragam, bisikan hati rangkuman dendam...hati berdoa membisik lama, menadah tangan mudah-mudahan disampaikan angan...Sentiasalah menyampaikan bisikan hati kita di dalam doa munajat hamba kepada Allah swt...itu yang paling bahagia....wallahu'alam.  Sekian, salam sehabis manis dari Ummi sampai jumpa lagi, insyaAllah...
Jangan lupa pantun ya.. =D

Kalam berpena...

UmmiAin


34 comments:

  1. Api membara membakar diri
    menjadi abu tak berguna lagi
    Ketika marah sabarkan diri,
    bisikan syaitan jgn dilayan lagi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Luka parah tusukan duri,
      Lelah badan mari diubati;
      Ketika marah sabarkan diri,
      Dengarlah bisikan naluri hati.

      Tq Hairul =)

      Delete
  2. As-salam dan selamat malam..

    sejuk sekali ketika mandi,
    tumpang mandi nasib kelana;
    bisikan hati rahsia peribadi,
    sukar terungkap jiwa merana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam selamat pagi buat En hanafi =D

      Sedia kemudi di lautan mati,
      Karam sampan takkannya mahu;
      Rahsia peribadi bisikan hati,
      Di dalam badan badannya tahu.

      Delete
    2. Terimakasih En Hanafi,
      sampai juga tuan kemari.. =)

      Delete
  3. Assalamualaikum...salam seikhlas hati,
    Ucapan di bibir bukan bisikan hati...

    Pohon senduduk tumbuh melata,
    Pisang embun masak setandan,
    Hati berbisik tak terluah kata,
    Lama di pendam merana badan.

    Buah keranji di atas para,
    Masak sebiji siapa yang mahu,
    Senyum ketawa riang gembira,
    Dalam hati hanya tuhan yg tahu.

    Sebelum bertunang kenalah merisik,
    Jari di sarung cincin belah rotan,
    Terdengar-dengar suara berbisik,
    Adakah bisikan hati ataupun syaitan?

    Fuh! Pening nak mengarang pantun nih.
    Lain kali bagi topik mudah skit ye...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam..

      Merpati terkedek di jalan bata,
      Mati sesia terkena tombak;
      Hati berbisik menyimpan kata,
      Menjadi rahsia merana tidak.

      Harimau mengaum menyambar sawa,
      Lelah teruja semuanya mahu;
      Walau senyum berkembar ketawa,
      Allah sahaja Yang Maha tahu.

      Hingar bingar di muara tasik,
      Runtuh ban mari di cebok;
      Terdengar-dengar suara berbisik,
      Teguh iman menjadi tembok.

      Sirih diluah berkapur pinang,
      Tikar hamparan bertenun jarang;
      Masih yang mudah bercampur senang,
      Siap cabaran pantun dikarang... =D

      p/s: Terimakasih sebab selalu singgah di blog saya...pantun pun indah-indah belaka =D

      Delete
    2. Salam di hujung minggu...

      Alunan merdu lagi gemersik,
      Suara ombak menghempas jeti,
      Terdengar-dengar suara berbisik,
      Singgah mendengar bisikan hati.

      Delete
    3. Wassalam....

      Ke pasar Kangar menjaja kerisik,
      Patah titi terjun ke lautan;
      Terdengar-dengar suara berbisik,
      Mungkinkah hati ataupun syaitan. =D

      Delete
  4. Allah-allah. Bookmark ! Terbaik blog ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam hormat dan selamat datang Prof... =D

      Balam merbah dan cenderawasih,
      Persada perintis penyeri awan;
      Salam bersembah berterimakasih,
      Kepada Prof Hariz seri ilmuan.

      Delete
  5. blog yang hebat. saya suka dan sudah ikut.
    nanti saya datang lagi. syabas.

    Tanam padi di hujung tanjung,
    Pasang pukat tangkap haruan;
    Salahkah pipi hidung tak mancung,
    Hati berhajat hendak berkawan!

    * itulah pantun pertama yang saya buat dalam blog saya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terimakasih kerana singgah di blog saya..=D

      Bertudung selubung basah sejengkal,
      Beralas lipat memanggang itik;
      Hidung tak mancung usah persoal,
      Ikhlas berniat itu yang cantik.

      Pukat tenggiri sulaman tenun,
      Kejung betutu dibuat-buat;
      Hajat mencari teman berpantun,
      Di hujung kuku melekat kuat.

      p/s: Cantik pantun tuan... =D

      Delete
    2. pohon cempedak tidak berdaun,
      tempat che mamat membela angsa;
      saya tidak pandai berpantun,
      cuma minat pusaka bangsa.

      Delete
    3. Pantai beralun berbatu tinggi,
      Terang purnama seri penyuluh;
      Pandai berpantun berilmu tinggi,
      Orang lama menjadi contoh. =D

      * Terimakasih tuan sebab sudi singgah di blog saya :D

      Delete
    4. gugur daunan di atas ranting,
      jatuh pula di atas titi;
      ilmu itu sangatlah penting,
      supaya tidak ketinggalan nanti.

      best sgt2 berpantun dgn kak ummi :)

      Delete
  6. pantu apakah ini klu bukan kerna hti tak keruan makna kena berjalan2 ke blog kwn2 heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ikan mati medak di cawan,
      Berbulan-bulan jadi peraman;
      Bisikan hati tidak karuan,
      Berjalan-jalan tiada berteman. =D

      Delete
    2. Tadah periuk menitis basah,
      Menunggu terang mari mencari;
      Sudah ku jenguk habis bersinggah,
      Baru sekarang Cik Suri kemari..huhu

      Delete
  7. soal hati klu kata bercinta mmg hati gembira selalu yer tak?

    ReplyDelete
    Replies

    1. Nilam permata beli di Rusia,
      Belah rotan untuk bertanya;
      Dalam bercinta menjadi rahsia,
      Itulah bisikan rasuk namanya. =D

      Delete
  8. manisnya dara santunnya budi,
    menjadi peneman si putera kayangan,
    jangan diikut bisikan hati,
    kelak nanti menjadi tangisan.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Pekan Penanti pasar disebut,
      Di angkut naik tenggiri papan;
      Bisikan hati berkembar maksud,
      Kalau yang baik memberi jalan.

      Delete
  9. Pulut jadi katanya basi,
    Umbut juga enak dirasa;
    Ikut hati katanya mati,
    Ikut rasa pasti binasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam dalam penantian cikgu..hehe

      Takut mengaji hanya menanti,
      AlQuran dinaik lima harakat;
      Ikut hati katanya mati,
      Bisikan baik umpama tongkat.

      Delete
  10. salam..
    nak berpantun tapi hilang pula
    idea ku bila singgah he he..kena
    pula bila dengar lagu P.Ramlee ni
    teringat kekasih lama pula :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam En Bro Zulkbo,

      Makan roti melekit di jari,
      Mari disapu bersih selalu;
      Bisikan hati dicuit memori,
      Memori bertemu kekasih dulu. =)

      Delete
    2. Makan roti berpalit sekaya
      Sekaya dipalit mengguna jari
      Apakan daya bercinta sebaya
      Kasihnya hilang di tengah hari

      Delete
  11. Emas disimpan berkati-kati,
    Hajat hendak bawa ke mati,
    Sebelum ikut kata hati,
    Minta izin Pencipta diri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Harum purut di dahan mati,
      Galah dicari di alu pinggir;
      Sebelum menurut bisikan hati,
      Muhasabah diri selalu berfikir. =)

      Delete
    2. Tenkiu Syazwi, pantun anda dinanti lagi =)

      Delete
  12. Tumbuh dahlia merata-rata,
    subur hidupnya sisian meranti;
    syaitan durjana musuh yang nyata,
    bisikannya pula perosak hati.
    :D..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menjala ikan di tasik mana,
      Terasakan ringan sampai berdiri;
      Bila syaitan membisik durjana,
      Perkasakan iman perisai diri.

      Terimakasih adik Hafiz..datang lagi ye =D

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^