Tuesday, February 19, 2013

Pantun Airmata Sedikit..

Assalamu'alaikum berdatang sembah, salam diberi semanis buah...


Gembira sungguh rasa dihati, mahu menangis berperi-peri, masa cemburu Ummi tak berani, kerana pantun sanggup ku curi-curi mengikut jari.....apa tu....rasa nak menangis ada juga, kerana pantun ku sanggup terima.. Wahai sahabat aduhai teman, rakan berpantun jom habis-habisan....sila oo sila jangan segan...Ummi kembali menitip rangkapan.  Entri Ummi kali ini bertemakan AIRMATA...

Siapa yang tidak pernah menangis tandanya tiada punya perasaan, namun kalau asyik menangis dikatakan macam orang perempuan..tetapi tahukah kalian...airmata dan tangisan itu punya kelebihan....tak percaya sila buat rujukan....









Airmata humour... :D
Jom kita berpantun... :D


Suara kereta meredah pasir,
Terkena batu baling ke titi;
Antara airmata dan matair,
Yang mana satu paling bererti.

Ombak menyapa menepis alu,
Pasir rata di tepi daik;
Tidak mengapa tangis berpilu,
Airmata terapi terbaik.

Rumah pusaka dimakan ulat,
Habislah beranda retak sebelah;
Hikmah airmata bagaikan ubat,
Menangislah anda kerana ALLAH.

Mengapa bina di pinggir pantai,
Andai terasa angin yang sejuk;
Apa guna airmata berderai,
Andai tiada orang memujuk.

Lada dihiris diperahnya asam,
Sekati petola dicampurkan kelapa;
Airmata menangis lumrahnya alam,
Lelaki pula dikatakan apa.

Tiada angin minta diampai,
Halau merpati redah ke Jawa;
Mana mungkin airmata berderai,
Kalau hati sudah ketawa.

Kutip sampah merata semak,
Kelam hutan sedang dibakar;
Setitis tumpah airmata emak,
Sedalam lautan di Padang Mahsyar.

Kepala singa lima tarian,
Dibalut satin melutut girang;
Ada bunga nama pemberian,
Air Mata Pengantin disebut orang.

Teratak Marhanis hanyalah rumah,
Buat teduhan untuk berkawan;
Banyak menangis bukannya lemah,
Sekadar luahan memujuk rawan..

Hendak menyudu si itik nila,
Ular melata berjalan siang;
Tidak rindu detiknya bila,
Air mata takkan terbuang.

Tumbuh sireh melata-lata,
Pinang semayang hanya secerpa;
Menangis berkasih berairmata,
Berlinang dibuang kerananya apa.

Suara puitis irama syair,
Nada rendah seruling bambu;
Antara berjenis jenama air,
Airmata taubatlah paling ditunggu.

Atur bata di susur desa,
Habis aturnya selepas diredah;
Gugur airmata gugurlah dosa,
Menangis semahunya di atas sejadah.

Terlebih sudip rentung sebalang,
Kuah bendi dimasuk peria;
Bersedih nasib untung yang malang, 
Airmata menjadi pemujuk setia.

Kalau tercucuk main kerosang,
Ubat lemuju jangan diminta;
Walau buruk kain berusang,
Dapat menyapu si airmata.

Ombak menepis di lautan senja,
Dingin terasa basah di badan;
Hendak menangis teruskan saja,
Airmata jangan ditahan.

Buah manggis di takuk dahan,
Daun rimbun gugurnya ke bumi;
Usah menangis merajuk badan,
Mari berpantun bersama Ummi.

Angpau tiada mercun sejengkal,
Hendak dibakar di hari raya;
Kalau ada pantun yang janggal,
Usahlah gusar maafkan saya. =)


Adat menangis mestilah berair matanya, usah dibuat-buat...melainkan ada pelakonnya....airmata trajidi
menjadi memori...namun airmata keinsafanlah yang sebaik-baiknya....anda semua tentu pernah menangis, samada tangisan gembira atau vice versa....Allah itu Maha Bijaksana...diberi airmata buat hambanya buat menangis padanya ketika berdoa...anda sedang menangis ka...kalau asyik nangis saja...bengkak mata tak jadi kerja....ingatlah pada Allah Ta'ala sentiasa....sekian, salam manis secangkir madu buat semua...
Sampai jumpa lagi ya... =D



Kalam berpena...

UmmiAin


20 comments:

  1. Assalamualaikum Ummi..lamanya menyepi,
    Rupanya air mata mengalir di pipi.

    Manis bibir melafaz kata,
    Senyum manis penyeri muka,
    Jangan ummi berendam air mata,
    Relaks Minda ada penawar duka.

    Air mata sangat berharga,
    Tertumpah ia tanpa dipaksa,
    Mungkin duka mungkin bahagia,
    Keinsafan diri pada yg Esa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam buat saudara.. =D

      Makan tumpi berhujan sejuk,
      Bawa kedondong ke tepi pantai;
      Bukan menyepi bukan merajuk,
      Hawa kampung menjadi pakai.

      Makan cuka perut pun senak,
      Punya lama sampai mencengkam;
      Bukan duka menjerut tidak,
      Hanya tema berangkai ilham.

      Tinjau bubu ikan diterpa,
      Rupanya ada siakap yang mati;
      Walau seribu tulisan ku jumpa,
      Relaks Minda tetap di hati.. =D

      P/s : Terimakasih kerana selalu singgah di blog Ummi. =D


      Delete
  2. Selembut hujan, menyirami bumi
    Sebagai tanda, kasihnya Ilahi
    Hidup ini bagaikan pelangi
    Yg bersinar setelah hujan pergi

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wangi saprah melambai pesona,
      Mula menutup basah di lantai;
      Pelangi indah bagai pewarna,
      Bila hidup susah tak sampai.

      Delete
  3. Airmata jangan dibazirkan,
    Tapi kalau kerana Allah satu kemuliaan..

    Mampu dua kerat jer.. hehe..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Susah fakir tiada kereta,
      Rasa lelah cuba tahankan;
      Usah membazir si airmata,
      Kerana Allah hamba relakan.

      Hijau tua pesak berlipat,
      Aduh gemalai tatkala memakai;
      Walau dua nampak nya hebat,
      Sungguh bernilai bila disampai...hehe

      Delete
  4. Hai Ummikami... selamat malam..

    Pergi ke hilir menaiki rakit,
    Digigit ular memang tak baik,
    Mata sepet kerana sakit,
    Doa kalian sekarang dah baik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai Dear Donny!..selamat malam to you too =D

      Kereta berderet ditarik naik,
      Berdua menunggu terasa jemu;
      Mata sepet dah jadi baik,
      Doa selalu hanya untukmu.

      p/s : tenkiu donny sbb selalu singgah berpantun di blog Ummi =D

      Delete
  5. Mata basah air di pipi,
    Menitis laju jatuh ke riba;
    Rasa gundah menusuk hati,
    Tangis ibu tiada taranya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ribu manggis di pasar nyonya,
      Mengira pitih lupa melulu;
      Ibu menangis besar maknanya,
      Gembira sedih siapa yang tahu.

      Delete
  6. Mata basah air di pipi,
    Menitis laju jatuh ke riba;
    Rasa gundah menusuk hati,
    Tangis ibu tiada taranya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Melati indah sibunga senduduk,
      Tangkai menitis dipetik harum;
      Hati gundah tidak ditunjuk,
      Andai tangis dibalik senyum.

      Delete
  7. Selemabut hujan menyirami bumi
    sebagai tanda kasihnya Ilahi
    selembut tangisan membasahi pipi
    sebagai tanda keinsafan diri...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rambut secebis beralun di tepi,
      Dara berdiri di depan cermin;
      Selembut tangis turun di pipi,
      Tanda penyeri keinsafan mukmin...

      Tq Hairul =)

      Delete
  8. Pukullah gendang pukul rebana,
    Irama lama penyedap tari,
    Air mata penuh bermakna,
    Andainya ditangisi mengisafi diri.

    ReplyDelete
  9. Terkena perangkap di pinggir kota;
    Bebiri dicari dekatnya rimba;
    Makna terungkap di air mata,
    Insafi diri munajat hamba.

    Terimakasih kerana sudi berpantun :D

    ReplyDelete
  10. lagi diputar diselangi tarian,
    nampak memukau mata memandang,
    hendak menangis jangan ditahan,
    lepaskan sahaja agar tenang.

    ReplyDelete
  11. Cari-mencari terasa berminggu,
    Terharu orang kian berlama;
    Berhari-hari sentiasa menunggu,
    Baru sekarang tuan menjelma.

    Manggis dan rambai dibalik dahan,
    Menanti dibawa untuk hantaran;
    Tangis berderai kalau ditahan,
    Hati dan jiwa tidakkan baran.

    p/s : tq Nasray... :D

    ReplyDelete
  12. daun selasih daun semulih
    pohon pinang jambatan mandi
    setiap hari bertambah kasih
    kasih dibawa sampaimati

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^