Wednesday, February 27, 2013

Pantun Adatlah Orang....

Salam teramat manis buat sekelian pembaca budiman....ADATlah manusia, berlapik adat dalam bicara...bermain adat dalam setiap perkara....

"Biar mati anak, jangan mati ADAT... mencabut adat yang asing daripada ISLAM, tidak semudah mencabut kemuncup yang lekat di kain"   -  Ust Hasrizal Abdul Jamil.



Sirih Beradat....
Bermuka dua...adatlah orang
Adatlah orang...jujur payah dicari...

Jom kita berpantun...adat bahasa sama berhimpun, bagai titisan air embun, sejuk dan dingin adat bersantun...


Bukan kebah sebarang kebah,
Kebah pendekar sampai berpeluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah berlembar berangkai sepuluh...( lebih dah )

Indah serlah suria pun terang,
Bersapa bayu sejuk tiupan;
Sudah adatlah manusia sekarang,
Lupa malu bertepuk sopan.

Pekat serawa dibubuh keladi,
Potong ketupat secangkir kerak;
Adat berhalwa tak runtuh budi,
Dijunjung bertempat dipinggir tidak.

Kisah si Tenggang padatnya rahsia,
Moga sendiri rasa terkesima;
Usah dikenang adatnya manusia,
Jaga diri perkasa agama.

Kilat parang menyiang betutu,
Mengapa alu dibubu nelayan;
Adat orang memang begitu,
Bersapa dahulu baru dilayan.

Gobek cantik hiasan kemboja,
Sirih dipepak menjadi sepah;
Bodek sedikit berkenan sahaja,
Masih tak nampak budi melimpah.

Kumbang melekat di lampu basah,
Petik kesidang di Subuh pagi,
Memang adat seribu wajah,
Cantik dipandang hodoh ketepi.

Jarang sendat malu dipakai,
Sendat kebaya bersulam biku;
Orang beradat dulu disampai,
Adat sikaya bersulam saku.

Kilatlah seberang pulau berjemur,
Di kala tohor perahu dirembat;
Adatlah orang kalau ditegur,
Bila ditegur bahu tak rapat.

Ikat pegaga terbuka hujung,
Malu selera makan kebulur;
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara warisan masyhur.

Selipar putih diikat benang,
Mencari buluh patah serumpun;
Hantar sirih beradat pinang,
Jari sepuluh sembah diampun.

Medak udang di dalam cawan,
Makan mentimun dipotong mentah;
Hendak pulang kuberi laluan,
Tinggalkan pantun barang sepatah.

Bersantun-santun dijaga,
Kainlah batik melibas sendi;
Berpantun berpantun juga,
Makinlah cantik beralas budi.

Hari Selasa memasak kari,
Kari dimasak berurap sayur;
Seperti biasa ku rafak jari,
Peri diampun tersilap atur.

Pagi bertenun tekad suasa,
Sampai dekat waktulah Zohor;
Ummi berpantun beradat biasa,
Andai cacat silalah tegur.


Begitulah adatnya orang, yang baik selalunya dijadikan kerajaan hati, beradat jua bangsa Melayu, kalau nak beradat haruslah beradat yang berilmu....hahaa, apa ditunggu apa dinanti, sila berperi menguji diri....adat berpantun-pantun di sini, mesti ceriakan hati... 

Sila ooo sila.....Sekian buat kali ini ku pastikan kembali......insyaaaAllahh, kalau ada salah dan silap harap ditegur ya...salam manis secangkir madu dari Ummi.. =D



Kalam berpena....

UmmiAin


22 comments:

  1. berat arang ditindih kulat
    serdak berdebu di pinggan siapa
    adat orang memilih darjat
    tidak sekufu enggan disapa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Timbang madat di celah barang,
      Disuruh mahu hendaknya kapur;
      Memang adat setengah orang,
      Bersentuh bahu tidak bertegur.

      Tq Kakcik =)

      Delete
  2. sorong kayu tarik papan,
    buah pisang dalam perahu;
    dapat menantu anak hartawan,
    bahasa kurang buat tak tahu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di Batu Kawan katanya bertemu,
      Bawalah kayak menggigil demam;
      Menantu hartawan miskinnya ilmu.
      Belumlah layak dipanggil imam.

      Delete
  3. agak susah nak mejawab pantun di sini kerana ada gajet word verifification tu .. pantun di ats berjaya saya pos selepas 4-5 kali cuba.

    sekadar makluman sahaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah...dah diperbetulkan....
      Terimakasih kerana sudi berpantun di blog saya na.. =D

      Delete
  4. Assalamualaikum...
    Salam beradat di hulur,
    Harap disambut dengan luhur.

    Dari rebung buluh dilentur,
    Sabar menanti hari bahagia,
    Adat melayu tidakkan luntur,
    Selagi melayu tak hilang didunia.

    Ke teluk dalam mengail gelama,
    Singgah sebentar membeli huma,
    Jangan di ikut adat lama,
    Jika menyimpang ajaran agama.

    Di atas batas menanam halia,
    Tinggi rendah tidak sekata,
    Kunjung mengunjung adat mulia,
    Adat berbelog ber'blogwalking'lah kita.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumsalam....
      Salam beradat hamba menyambut,
      Sudah bersambut jari mengikut.

      Jemur kulat bersuluh cimni,
      Tahan kayu bergalang sedia;
      Luntur adat lemahlah seni,
      Takkan Melayu hilang di dunia.

      Tangkai delima mari diberus,
      Bongkok sabut kuat bertahan;
      Andai lama menjadi bagus,
      Elok diikut buat panduan.

      Tinjau gelama di celah arus,
      Pulanglah nanti tiada alasan;
      Kalau yang lama dibuang terus,
      Hilanglah seni rosak warisan.

      * terimakasih ya tuan sebab pantun yang berangkap-rangkap...teruja Ummi... =D

      Delete
  5. assalam mesra kak ummi....

    Adat bertandang Dijamu kopi
    Dicicah dengan Sebuku Roti
    Adat Melayu Penuh Dgn Budi
    Membawa kesejahteraan penghuni disini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam dalam penantian buat Hairul.. =D

      Sendat baju bertenun seni,
      Indah dan hebat mengatur tari;
      Adat Melayu berpantun di sini,
      Menambah sahabat berhibur diri.

      Delete
  6. baguslah dah tak de verification code.. kalau tak, letih gak meneka hurufnya.. heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak masuk rumah bukan senang..kena pakai bodyguard...hehe, kak Ummi hanya mencuba...letih juga noo...kak Ummi dah betulkan..jangan marah naa... :D

      Delete
  7. Dari rebung jadinya buluh
    Dari buluh di buat tongkat
    Sudah terang lagi bersuluh
    Melayu itu indahnya beradat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Indah azan dipagi Subuh,
      Solat selalu nenda berpesan;
      Sudah bertahan lagi bersuluh,
      Adat Melayu pusaka warisan.

      * Tq En Bro...nanti pantun lagi ye :D

      Delete
  8. Pasang sekat di tengah seberang,
    Belum berpagar tenggelam seinci;
    Memang adat setengah orang,
    Senyum di luar di dalam benci.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kain ketat di belah jarang,
      Punya melangkah paha berutu;
      Lain adat setengah orang,
      Hanya Allah Yang Maha Tahu. =)

      Delete
  9. salam..jgn suka sakitkan hati org sudahlah tu bukan adat namanya heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam Suri.. =D

      Padi bendang dimakan merpati,
      Tahan menunggu di tepi laman;
      Selagi memang dinamakan hati,
      Bisikan selalu menjadi mainan.

      Delete
  10. pantun kaya dengan budi
    semua org riang mmbaca
    saling ingt saling perbetul
    harap semua blh terima

    sah2 ini bukan pantun sb rima hujung tak sama heee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jeling sepat jeling tenggiri,
      Duga di bawah terasa laut;
      Saling ingat saling hargai,
      Moga ukhwah sentiasa bertaut. =D

      * Tq Suri dear =)

      Delete
  11. Bersiap hendak ke mana,
    Kain jarang menutup muka;
    Beradat-beradat juga,
    Halal haram hendak dijaga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bersendat-sendat celana,
      Tunggu lama mengharap si dara;
      Beradat-adat yang kena,
      Tahu agama tetap dipelihara.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^