Tuesday, January 8, 2013

Pantun Mengapa...


Salam hurmat buat semua...andai kita pandai bicara, mengapa pena tiada suara...dalam dunia ini banyak antara kita yang suka 'mengapa', mengapa ya...


Dupa dibuka cemara terang,
Entah mambang meminta tolong;
Mengapa suka bicara temberang,
Lidah bercabang cerita bohong.

Lantai titi lebar dan luas,
Ada jeriji terbuka sendiri;
Andai hati benar dan ikhlas,
Mengapa janji suka mungkiri.

Pulau Melaka dalam kenangan,
Kelapa pandan di atas rakit,
Kalau ada lebam di tangan,
Mengapa badan terasa sakit.

Kerana bumi bercuaca kelam,
Pandang mentari dekat nak mendung;
Mengapa suami pula yang mengidam,
Sedang isteri sarat mengandung.

Pagi gerimis bayu berpuput,
Pulau pandan basah dek hujan;
Dibagi betis hendakkan lutut,
Mengapa badan dipisah-pisahkan.

Suka membaca semua buku,
Makin terserlah diri kedapatan;
Mengapa cuaca tidak menentu,
Mungkin Allah memberi peringatan.

Rasa perit luka di tangan,
Lepas dirawat di sapu ubat;
Mengapa murid suka berangan,
Malas lewat tanggung akibat.

Lidah kebas termakan ceri,
Tiada saya sempat berubat;
Sudah puas kebaikan diberi,
Mengapa kaya mendapat tempat.

Berhelai bulu di pusara hening,
Cenderawasih tercucuk buluh;
Andai mahu ke menara gading,
Mengapa masih berpeluk tubuh.

Masuk soldadu meredah hutan,
Kena berjaga di waktu malam;
Pucuk paku sudah dibelikan,
Mengapa pegaga yang dibuat ulam.

Kerap menonton cerita mana,
Mata memaku tak lepas-lepas;
Berangkap pantun sudah ku bina,
Mengapa hatiku tak puas-puas.


Haa...tudia pantun...sebenarnya ada banyak 'mengapa' dalam kehidupan kita sehari-harian. Mengapa ye, salah satunya cuba 'try' tanya diri sendiri mengapa suka berpantun, jawab sendiri lah ye...^^,



Kalam berpena...

UmmiAin

12 comments:

  1. bunga mawar keliling duri,
    sayang layu kembang tiada,
    Mengapa dikeluh nasib sendiri,
    pasti ada jalan keluarnya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bunga tulip dibuat hiasan,
      Pecah pasu tangan terbelah;
      Mengapa nasib menjadi alasan,
      Bukankah itu ujian Allah.

      Delete
  2. sungguh ramai pendatang seberang,
    rakyat tempatan terkuyu-kuyu,
    mengapa diharap padi seberang,
    padi di depan masak layu.

    salam ziarah. entah kenapa muncul pantun ni pn tak tau, hehehehehe :D idea spontan je :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malam si dara memalu gendang,
      Dengan bergaya memegang pasangan;
      Salam gembira tetamu diundang,
      Buat peneman saya yang keseorangan.

      Mengapa diharap padinya seberang,
      Naiklah sampan masuk lautan;
      Mengapa diharap budinya orang,
      Baiklah badan duduk sendirian. :)

      Delete
  3. Ada panas ada redup,
    tidaklah menentu cuacanya,
    Kenapa ada mengapa dalam hidup,
    Semua itu ada jawapannya.

    salam perkenalan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kebaya siapa bersulam lipan,
      Indah seri bukan memuji;
      Ada 'mengapa' dalam kehidupan,
      Muhasabah diri tahan diuji.

      Salam perkenalan dan salam ukhuwwah...

      Delete
    2. Buaya tembaga dicari jangan
      Ular berlingkar diserang lipan
      Usah dirisau setiap ujian
      Itu tanda disayang Tuhan

      Salam ukhwah daripada hafizmohd.com

      Delete
    3. Tumbuh peria di petak mangga,
      Hanya lada berputik seribu;
      Sungguh gembira tidak terhingga,
      Rupanya ada yang sudi bertamu.

      Salam ukhwah salam hurmat terimakasih..

      Delete
  4. Ulat beluncas mahu terbang,
    Kepak harapan tak tumbuh lagi;
    Kuharap panas hingga ke petang,
    Mengapa hujan di tengah hari.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kelapa disimpan sudah berhari,
      Kena tanamnya di celah batu;
      Mengapa hujan di tengah hari,
      Kerana cuacanya Allah yang menentu.

      Delete
  5. suka dengar lagu yang ada ni. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sedap kalau dengar lagu lama, lagu lagenda zaman tok tok dulu...tenkiu Titan. :D

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^