Friday, January 4, 2013

Pantun Guru..

Salam hurmat dan selamat bertahun baru....khusus buat guru-guru, dan guru yang saya paling rindui, Cikgu Aishah Bee sejak zaman sekolah rendah, sebenarnya dah lama nak buat pantun tentang guru ni, sebelum buat blog ni lagi.....jom kita berpantun.




Tutup gua merpati terharu,
Gegar rapat batu di naik;
Hidup di dunia mesti berguru,
Agar dapat ilmu yang baik.

Garu banyak perkara garu,
Nanti terluka terasa pedih;
Guru banyak perkara guru,
Berhati-hati ketika memilih.

Halau piru pulang ke sangkar,
Mati singa bersengkang sendi;
Kalau guru kepalang mengajar,
Seperti bunga kembang tak jadi.

Hendakku balut daunnya mengkudu,
Terkena jari sedu teresak;
Tidak ku tuntut ilmunya guru,
Kalau diri setengah masak.

Ibu melalut lagu gurindam,
Kenangan hiba rawan terharu;
Ilmu dituntut baru semalam,
Jangan dicuba melawan guru.

Kalau bertemu janganlah lama,
Rasa terharu bertemu lagi;
Kalau ilmu kudapat sama,
Usaha guru kusanjung tinggi.

Asah beliung melepuh tangan,
Ubat disapu biru di tapak;
Sudah ku harung tujuh lautan,
Baru bertemu guru yang bijak.

Sudah ku lipat baju berpetak,
Eloklah sapu minyak di kain;
Kalau dah dapat guru yang bijak,
Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin.

Cuaca redup nampak kelabu,
Rembang suasana tiada terang;
Jika hidup tidak berilmu,
Memang hina dipandang orang.

Menjala sepat di tali arus,
Bertemu duri tali terikat;
Bila mendapat guru yang bagus,
Ilmu diikuti menjadi berkat.

Paku berkarat terkena mata,
Berhari saya merasa kelam;
Guru ibarat tiang pelita,
Memberi cahaya setiap malam.

Pekan Rabu belumkan sampai,
Nangka cempedak dibawanya bekal;
Pesan guru jangan diabai,
Jika hendak ilmunya kekal.

Rusa diburu ada sebelas,
Tutup jerat menghadang titi;
Jasa guru tak minta dibalas,
Cukup setakat mengenang bakti.

Delima putih ada di bucu,
Buah nangka jatuh merata;
Terima kasih kepada guru,
Tiada mereka siapalah kita.

Buru tupai terkena tempua,
Kenari terjerat di tepi pagar;
Guru bagai ibubapa kedua,
Memberi nasihat mendidik pelajar.

Gelas biru sudahlah pecah,
Adik merasa jejari ngilu;
Tugas guru bukanlah mudah,
Mendidik bangsa memberi ilmu.

Lembu Pak Lah dapat percuma,
Asyik gembala menunggu masa;
Ibu adalah di tempat pertama,
Mendidik membela sehingga dewasa.

Kendi biru terbelah sudah,
Takkan cuba diletak alu;
Menjadi guru bukanlah mudah,
Impian hamba sejak dahulu.



Hurmatilah guru kerana mereka pemangkin bangsa..jadi guru biar ikhlas, bukan second class, jangan marah naa  ^^, sekian.


Kalam berpena...

UmmiAin 


6 comments:

  1. Pelikat baru dalam lipatan,
    Batik basahan pula diikat;
    Nasihat cikgu dalam ingatan,
    Buat panduan dunia akhirat.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pelikat baru diikat labuh,
      Tekad sulaman sarung berbiku;
      Nasihat guru ibarat penyuluh,
      Buat pedoman di lorong berliku.

      Delete
  2. Berjalan keliling di dalam kota,
    Di dalam kota mencari sendudup,
    Memang benar andai dikata,
    Ibulah guru panduan hidup.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Segar Subuh di dalam kota,
      Lagu azannya baru bergema;
      Benar sungguh bagai dikata,
      Ibu sememangnya guru pertama. ^^,

      Delete
  3. Mandi pagi bersabun wangi
    Jangan lupa gosok gigi
    Jasa guru sentiasa dihati
    Moga Allah jualah yang memberkati

    ReplyDelete
    Replies
    1. Melati baru tumbuh sekuntum,
      Berdaun tua mangga di titi;
      Bakti guru sungguh mengharum,
      Sepohon doa semoga dirahmati.

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^