Monday, January 21, 2013

Pantun Bimbang..


Salam bahagia salam manis dan salam sejahtera buat pemantun yang budiman...semoga sihat-sihat dan ceria hendaknya..dan tiada perkara yang membimbangkan anda insyaAllah.

Perkara-perkara yang berlaku sekarang ni kerap membimbangkan kita terutama anak-anak yang sudah terlebih 'advance' dari ibu ayah...terlampau taksub dengan kecairan zaman teknologi canggih...
Anak-anak yang seusia lima tahun pun sudah tahu apa itu internet....bimbang dengan bimbang ni.
Pantun Ummi kali ni tertelan dek masa kerana tuntutan keluarga...ada gap sedikit...tapi takpa..demi minat Ummi teruskan juga.  kali ini pantun mengenai bimbang, bukan abang, bukan pula kumbang, apalagi tumbang...tapi 'BIMBANG'....dalam meniti kehidupan apa yang kita selalu bimbang...

Jom kita berpantun ya... :D


Tebang kelapa di hari terang,
Setimbun lada di dalam raga;
Bimbang apa diri sekarang,
Sudahpun ada orang menjaga.

Cabang mengkudu tidak berputik,
Serai disiram belumlah tumbuh;
Bimbang ibu anak tak balik,
Tirai malam sudah berlabuh.

Abang ke kedai membeli barang,
Kuah cabai terkena mata;
Bimbang perangai manusia sekarang,
Maruah tergadai kerana harta.

Asah serampang di tengah tasik,
Menikam keli bercabang hujung;
Usah dibimbang wajah tak cantik,
Bersiram budi itu yang disanjung.

Hendak berkelah di tengah rembang,
Makan berdua rambutan seraga;
Anak ke sekolah usah dibimbang,
Mohonkan doa keselamatan dijaga.

Kembang bukan sebarang kembang,
Kembang selasih di dalam kendi;
Bimbang bukan sebarang bimbang,
Bimbang kasih tidakkan menjadi.

Tiada perigi menadah embun,
Kubang kerbau tempatnya hama;
Ayahanda pergi sudah bertahun,
Bimbang kalau tak dapat terima.

Kerap mencari sibuah jambu,
Abang mengelamun di tiang putih;
Mengharap diri tidaklah jemu,
Bimbang serumpun terbuang kasih.

Tumbang kelapa terangnya bukit,
Paha pedih terkena batu;
Bimbang apa kurangnya duit,
Usaha lebih semangat jitu.

Tangkap kumbang di pohon mangga,
Disengat tebuan terkena dagu;
Kerap dibimbang tuan tak tiba,
Dekat berbulan saya menunggu.

Dara sunti berbaju jarang,
Skaf rambut baru dibeli;
Bimbang dihati bahasaku kurang,
Maaf disebut berkali-kali.


Sebenarnya banyak perkara yang perlu kita bimbangkan...kalau nak dihitungkan sampai bila pun takkan habis.. Ummi bercakap cuma bahasa pantun...banyak lagi perkara dibimbangkan kalau nak disusun... 
Anda pulak bagaimana..... :D


Kalam berpena...

UmmiAin



11 comments:

  1. Pokok bakau ditebang-tebang,
    Pohon kemboja sudah berbunga;
    Apa dirisau apa dibimbang,
    Tuhan sentiasa ada bersama.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kembang sibunga butang,
      Berseri pagar dikerat juga;
      Risau dan bimbang sentiasa datang,
      Mencari ikhtiar munajat hamba.

      Delete
  2. menarik sekali pantun Ummikami di atas. Betul, kanak-kanak sekarang ni semakin advance dari parents mereka. Sesuatu yang bagus tapi jika silap asuhannya akan menyebabkan kerisauan kepada ibubapa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq Donny..itu yang paling kita bimbangkan kerana budak-budak ni lah pelapis bangsa...kene jenguk dari akar umbi. :)

      Delete
  3. As salam...saya risau juga nak berpantun bila membaca pantun tuan punya blog yang hebat..hebat

    anak gadis bermain mata,
    tersilap langkah badan yang susah;
    kelu lidah tidak terkata,
    mulut terkunci resah gelisah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. 'Alaikum salam..

      Basah sudah ayam di relau,
      Mengapa ditanya pohon di rimba;
      Usah resah bersulam risau,
      Apa kurangnya pantun tuan hamba. :)

      Berlalu sudah sibudak buta,
      Ke mana haluan diri mencari;
      Kelu lidah tidak terkata,
      Kerana tuan sudi kemari.

      Delete
  4. sudah lama ingin berpantun
    tapi risau kelihatan sumbang
    dunia sekarang memang kurang santun
    sebab itu hati sering berasa bimbang

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mumbang kelapa dimakan abang,
      Sudah dirasa tapi tak jemu;
      Dibimbang mengapa pantunmu sumbang,
      Seindah bahasa semanis namamu.

      Kelapa tumbang dua bercabang,
      Hujan berlalu malapnya lampu;
      Terpaksa dibimbang dunia yang sumbang,
      Tindakan perlu setakatnya mampu.

      Delete
  5. saya hentam lagi ummi =D

    anak ayam makan nangka
    burung helang terbang tinggi
    hati ini gunda gulana
    isteri belum datang kemari

    ReplyDelete
  6. Silakan Donny :D

    Puteri Delima berkain chiffon,
    Badan terdedah ditegur Menteri;
    Mari bersama bermain pantun,
    Hilangkan gundah berhibur hati.

    ReplyDelete
  7. Pantun bimbang bersulam galau
    Puteri Delima cantik wajahnya
    Usah gelisah usah risau
    Serahkan pada yang Maha Esa

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^