Wednesday, January 30, 2013

Pantun Malas Ke Segan..


Salam bahagia berulas-ulas senyum, syukur alhamdulillah dapat juga membuat pantun. Kali ini tentang malas atau segan...nampak macam sama makna tapi punya dua maksud yang berbeza...

Sudah semestinya perkataan malas tu sesuatu yang negatif tapi adakalanya boleh digunapakai..tapi, kalau asyik malas dan segan.. akan dicap orang sebagai PEMALAS atau PENYEGAN, kasar bunyinya kan,..pemalas ni ialah orang yang tidak mahu membuat sebarang kerja manakala penyegan pula serupa juga...tapi kalau malas itself bermaksud tak nak buat kerja, taknak ikut campur sedangkan segan pula adalah malu untuk berbuat sesuatu...apapun Ummi bukanlah guru tapi kalau nak tahu rujuklah buku.... =D



Jom kita berpantun... jangan segan-segan ye.. =D


Kain alas menutup pinggan, 
Kacau taucu periuk pun hangus; 
Mungkin malas bermaksud segan, 
Kalau nak tahu rujuklah kamus. 

Segelas besar minuman serbat, 
Pergi pekan menjaja tauhu, 
Malas belajar terima akibat, 
Hidup segan kerja tak mahu. 

Bekal pulut di waktu pagi, 
Galas kail mencari perahu; 
Berbuih mulut teguran dibagi, 
Malas dan degil sendiri tahu. 

Makan anggur satu persatu, 
Kemudian ditala laksa Penanti; 
Hajat menegur dara di pintu, 
Segan pula rasa dihati. 

Beras usang jangan disantap, 
Dibasuh lama dibaca selawat; 
Malas sembahyang iman tak tetap, 
Runtuh agama dosa terbuat. 

Makan papaya di tepi pagar, 
Duduk mengupas sambil menunggu; 
Bukan saya tidak mendengar, 
Cuma malas nak ambil tahu. 

Daun mempelas bukan selalu, 
Ketupat raya santan berlumur; 
Bangun malas makan tak lalu, 
Alamatnya tuan kependekan umur. 

Jemu berdiri duduklah cikgu, 
Kelas sebelah di mana jalannya; 
Ilmu dicari janganlah ditunggu, 
Malas sekolah bagaimana persoalannya. 

Bermula guruh hujan pun tempias, 
Taji nipah terkena bahu, 
Bila disuruh badan pun malas, 
Dijanji upah barunya mahu. 

Angan dahulu kerjanya enggan,
Sehari mengelamun mengigil dagu;
Jangan malu usah segan-segan,
Mari berpantun sambil berlagu.

Penyamun malas rasa tempias,
Lelah mendakap di pagi hujan;
Pantun beralas bahasa berkias,
Salah dan silap sudi maafkan.


Haha...tudiaa pantun, kalau nak diukur kemalasannya, memang banyak perkara malas, jangan biarkan tahap malas tu di peringkat yang kritikal, buruk padahnya, jangan malas-malas, segannya tak mengapa, malas dan segan biar kena pada tempatnya, malas pula jari ni nak taip banyak-banyak, kalau malas-malas tu tahulah akibatnya, jangan pula malas nak berfikir, dan kenapa pula nak disegankan...fikirkanlah, yang mana satu, MALAS ke SEGAN...ok, sekian sampai jumpa lagi ya, assalamu'alaikum. =D



Kalam berpena.....

UmmiAin

Monday, January 28, 2013

Pantun Lembab Dan Lembap..


Salam hormat buat rakan-rakan pemantun dan pembaca budiman serta anggun...kali ini Ummi letakkan entri baru tentang dua nama lebih kurang sama tapi lain eja.  Makna pun lain-lain, kalau tak berhati-hati penggunaan perkataan yang sama ataupun nak cepat boleh menjadi salah maksudnya.  Cuba perhatikan betul-betul, LEMBAB dan LEMBAP, tak samakan...lain maknanya.. :D



Contohnya ayat yang berbunyi , seekor siput sedang merayap dengan lembabnya di tanah yang lembap..betulke tak ayat ni cikgu..kalau salah harap betulkan ya.. :)


Haa...nindiaa..jom kita berpantun.. :D

Gelama masam rasanya masin, 
Kuala cetek menunggu perahu; 
Sama semacam maksudnya lain, 
Bila ku belek baru ku tahu. 

Kebab dan karipap seakan sama,
Rasa tak jemu makanan berinti;
Lembab dan lembap berkembar nama,
Yang mana satu pilihan hati.

Sebab bukan sebarang sebab, 
Terkena duri papan melantun; 
Lembab bukan seorang lembab
Kerana diri bersopan santun. 

Kaca menghempap terkena badan, 
Merah bertanda terbujur ngeri; 
Cuaca lembap kerana hujan, 
Pasrah dan redha syukur diberi. 

Nampak lelah tercungap sedikit, 
Badan letih rehat di bangku; 
Lembab tidaklah dianggap penyakit, 
Banyakkan berlatih tingkat IQ.

Sudah gelap di waktu fajar,
Mengapa kuala masihkan menunggu;
Masaalah lembab di kalangan pelajar,
Apa pula tindakan cikgu.

Karipap Pak Bai terasa inti, 
Lemak berkrim dicampur tairu; 
Lembab Unifi terpaksa menanti, 
Hendak mengirim entri yang baru. 

Makin direntap tangan mencapai,
Bawa pedati mati sang kerbau;
Stokin lembap jangan dipakai,
Takut nanti kaki berbau.

Pandai berperang jasa terbuku,
Staff platun berpangkat sarjan;
Andai terkurang bahasa pantunku,
Maaf ku pohon selebat hujan.


Sebenarnya banyak lagi perkataan yang hampir sama ejaan tapi berlainan makna, tak kurang juga yang terkeliru dengan penggunaan perkataannya, Ummi rasa ramai rakan-rakan di luar sana yang lebih mengetahui, apapun bahasa Melayu bahasa ibunda, di mana jua boleh pakainya....sekian sahaja, cukup sampai di sini dulu ya, sampai jumpa lagi.....assalamu'alaikum.



Kalam berpena...

UmmiAin


Friday, January 25, 2013

Pantun Peringatan..


Salam bahagia dan salam manis buat pembaca sekelian...  :)

Semoga sihat dan sentiasa ceria di dalam kasih sayang Allah swt...amin...haa, tudiaa pantun Ummi kali ini...tentang perkara-perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.  Buat rakan-rakan Muslimin, hidup kita ni hendaklah berbajukan iman berkain taqwa...sentiasa ikhlas dalam setiap apa juga pekerjaan kita.  Ummi bukanlah siapa-siapa namun sama-samalah kita berkongsi dan membaca pantun di bawah...  kalau ada yang salah dan terkurang harap dimaafkan ya..yang buruk dan tersangat kurang adalah dari Ummi dan yang terbaik itu adalah dari DIA...



Jom kita berpantun.. :D


Air naik di tepi sungai,
Jala ditepuk sambil ditebar;
Berfikir baik menjadi pakai,
Segala yang buruk ambil iktibar.

Aki menjamu di tepi rakit,
Pengat sebekas terlupa bawanya;
Meski ilmu setinggi langit,
Solat dilepas apa gunanya.

Menjamah ulam kobis memutih,
Perangat ikan bercampur rasa;
Ditengah malam menangis sedih,
Teringat badan berlumur dosa.

Tangkailah petai lecur dan kurus,
Kari gelama sedap Alhamdulillah;
Janganlah sampai tertidur terus,
Mari bersama menghadap Allah.

Pusara indah bertakuk di taman,
Redup senja menyelak cahaya;
Diantara ibadah berpokok iman,
Hidup bersahaja berakhlak mulia.

Dahan mati di tebuk luka,
Takkan rimbun kemaman terbenam;
Jauhkan hati berburuk sangka,
Amalkan rukun iman keenam.

Pak Tua kedekut bergaya lama,
Berangan lawa memakai tengkolok;
Petua diikut semua ulama,
Jangan dibawa berolok-olok.

Toman ditangkap di dalam laut,
Dimasakkan kari berulam sayur;
Iman pun tetap sehingga maut,
Tahukan diri di alam kubur.

Kait-kait di padang temu,
Sekerap bertimbun di dalam kendi;
Baik-baik berpegang ilmu,
Mengharap ampun kalam Illahi.

Mentari petanda marhalah dunia,
Banjaran daik tidakkan rebah;
Dari muda sampailah ke tua,
Ajaran baik jangan diubah.

Pantai redup dipetang Selasa,
Cerah tiada di ufuk barat;
Andai hidup bergalang dosa,
Usah ditunda untuk bertaubat.

Ubi bemban pasti direbus,
Diberi kuah sesenduk rasa;
Orang beriman berhati lurus,
Berseri wajah elok bahasa.

Daun pandan di puncak bukit,
Dibuat ubat dukun Tambunan;
Bila badan menapak penyakit,
Cepat bertaubat mohon ampunan.

Mengapa sedap selom dan timun,
Buka jering bersiang salad;
Mengapa mengharap memohon ampun,
Jika terbaring di liang lahad.

Petai di jamah bersama sambal,
Pedas teramat rasa cukanya,
Tunai ibadah agama dibekal,
Agar selamat siksa nerakaNYA.

Seluar hapak di pagar rencung,
Terlekat hama ditebuk tupai;
Biar dikapak biar dipancung,
Adat lama elok dipakai.

Timun kelat peria pun pahit,
Galah sejengkal di pohon sukun;
Pantun adat saya mengulit,
Salah dan janggal bermohon ampun.


Alhamdulillah, Ummi dapat juga membina pantun setelah ada 'gap' begitu lama..peringatan buat semua, selagi ada tanggungjawab selagi itulah wajib kita tunaikan, pentingkan yang terpenting sebelum datang yang tidak perlu dipentingkan..bak kata cikgu Tehr... :D sampai di sini dulu hingga kembali dengan pantun yang lain pula.


Kalam berpena...

UmmiAin

Monday, January 21, 2013

Pantun Bimbang..


Salam bahagia salam manis dan salam sejahtera buat pemantun yang budiman...semoga sihat-sihat dan ceria hendaknya..dan tiada perkara yang membimbangkan anda insyaAllah.

Perkara-perkara yang berlaku sekarang ni kerap membimbangkan kita terutama anak-anak yang sudah terlebih 'advance' dari ibu ayah...terlampau taksub dengan kecairan zaman teknologi canggih...
Anak-anak yang seusia lima tahun pun sudah tahu apa itu internet....bimbang dengan bimbang ni.
Pantun Ummi kali ni tertelan dek masa kerana tuntutan keluarga...ada gap sedikit...tapi takpa..demi minat Ummi teruskan juga.  kali ini pantun mengenai bimbang, bukan abang, bukan pula kumbang, apalagi tumbang...tapi 'BIMBANG'....dalam meniti kehidupan apa yang kita selalu bimbang...

Jom kita berpantun ya... :D


Tebang kelapa di hari terang,
Setimbun lada di dalam raga;
Bimbang apa diri sekarang,
Sudahpun ada orang menjaga.

Cabang mengkudu tidak berputik,
Serai disiram belumlah tumbuh;
Bimbang ibu anak tak balik,
Tirai malam sudah berlabuh.

Abang ke kedai membeli barang,
Kuah cabai terkena mata;
Bimbang perangai manusia sekarang,
Maruah tergadai kerana harta.

Asah serampang di tengah tasik,
Menikam keli bercabang hujung;
Usah dibimbang wajah tak cantik,
Bersiram budi itu yang disanjung.

Hendak berkelah di tengah rembang,
Makan berdua rambutan seraga;
Anak ke sekolah usah dibimbang,
Mohonkan doa keselamatan dijaga.

Kembang bukan sebarang kembang,
Kembang selasih di dalam kendi;
Bimbang bukan sebarang bimbang,
Bimbang kasih tidakkan menjadi.

Tiada perigi menadah embun,
Kubang kerbau tempatnya hama;
Ayahanda pergi sudah bertahun,
Bimbang kalau tak dapat terima.

Kerap mencari sibuah jambu,
Abang mengelamun di tiang putih;
Mengharap diri tidaklah jemu,
Bimbang serumpun terbuang kasih.

Tumbang kelapa terangnya bukit,
Paha pedih terkena batu;
Bimbang apa kurangnya duit,
Usaha lebih semangat jitu.

Tangkap kumbang di pohon mangga,
Disengat tebuan terkena dagu;
Kerap dibimbang tuan tak tiba,
Dekat berbulan saya menunggu.

Dara sunti berbaju jarang,
Skaf rambut baru dibeli;
Bimbang dihati bahasaku kurang,
Maaf disebut berkali-kali.


Sebenarnya banyak perkara yang perlu kita bimbangkan...kalau nak dihitungkan sampai bila pun takkan habis.. Ummi bercakap cuma bahasa pantun...banyak lagi perkara dibimbangkan kalau nak disusun... 
Anda pulak bagaimana..... :D


Kalam berpena...

UmmiAin



Friday, January 18, 2013

Pantun Dalam Seminggu...


Salam hormat senyum bersimpuh, dalam seminggu pantun ku bubuh...jom intai pantun apa tajuknya, Seperti biasa usah ditanya, sudi-sudikanlah membacanya. Kali ini Ummi membawa tajuk pantunnya 'Dalam Seminggu'...kerana masing-masing tahu ada berbagai-bagai kisah suka duka, trajidi yang berlaku dalam seminggu. Apalagi kalau dalam masa setahun...agaknya dalam seminggu apa tajuk yang bermain di kepala Ummi.... :D


Lagu lama Sri Andalas, 
Gemalai tari gurindam nada; 
Minggu pertama dua ribu tiga belas, 
Berbagai diari macam macam ada. 

Beli laksa bersama gula, 
Bancuh kari garam sebuku; 
Demi masa langkah bermula, 
Tujuh hari dalam seminggu. 

Lagu tersohor Melayu Deli, 
Nada menusuk badan berhajat; 
Seminggu diatur berselang seli, 
Ada esok lusa dan tulat. 

Burung kenari mati dijerat, 
Dipatuk piru di tepi pili; 
Renung diri bakti yang dibuat, 
Untuk ibu dan juga famili. 

Mari merasa asamnya pedas, 
Lauk dijamah entahkan sedap; 
Isteri pula banyaknya tugas, 
Mengemas rumah belumkan siap. 

Tampi baja bertanam sagu, 
Rebung sekaki di tepi raga; 
Suami bekerja dalam seminggu, 
Menampung rezeki seisi keluarga. 

Sepatu berkulat di dalam peti, 
Takkan diguna tiada berharga; 
Sabtu dan Ahad diberi cuti, 
Rehatkan minda bersama keluarga. 

Malam menunggu Maghrib membuta, 
Sungai melimpah melebih titi; 
Dalam seminggu sekelip mata, 
Berbagai kisah silih berganti. 

Rasa nadi dada berombak, 
Goyah bermula sedari tadi; 
Manusia kini berpuak-puak, 
Jenayah pula menjadi-jadi. 

Setangkai anggur mari dijaja, 
Sehari menunggu di tepi jalan; 
Ramai penganggur mencari kerja, 
Dari seminggu menjadi berbulan. 

Gelak ketawa bersulam lagu,
Pantun dimula sampailah cerah;
Banyak peristiwa dalam seminggu,
Setahun pula berbagai kisah.

Puteri anggun memakai skaf, 
Pandai berkuda bermain busar; 
Jari bersusun berjurai maaf, 
Andai nada bahasa terkasar.



Buat pemantun sekelian....sudi-sudikanlah membaca pantun Ummi yang tak seberapa...mana tahu,
anda punya lebih bermakna..., sekian, salam dari Ummi. :D


Kalam berpena..

UmmiAin



Tuesday, January 15, 2013

Pantun Ku Jual Silalah Membeli..



Salam berpantun, buat anda yang pakar berpantun..sudi-sudikanlah membeli, pantun sudah ku jual...
entah siapa yang membeli awal. :)


Ternampak gelang ukiran mawar,
Ada di Pudu dibalutkan harga;
Hendak ku pulang terasa tawar,
Kerana rindu ku turutkan juga.

Indah awan hari tersenyum,
Cahaya putih dibelah mega;
Sudah bercawan kopi ku minum,
Kenapa masih terasa dahaga.

Berkenan puteri dari Malibu,
Lelah teruna terus menanti;
Di kanan suami di kiri ibu,
Sebelah mana harus diikuti.

Pulang Kuantan sampai Kemaman,
Gempa bumi gegar terasa;
Gelang intan ku pakai di tangan,
Mengapa kini bertukar suasa.

Buah kepayang segalah tinggi,
Jatuh merata di jalan selasih;
Kasih sayang berbelah bahagi,
Adakah dikata intan terpilih.

Kelapa hutan di balik bukit,
Batu bertangkup di hutan simpan;
Mengapa keburukan yang cuma sedikit,
Mampu menutup selautan kebaikan.

Pantun dibina sedikit sahaja, tak boleh panjang berjela kerana masa tak mengizinkan saya, kalau banyak sangat nanti tak sempat nak buat.. =)

Ya...sekarang kita lihat siapa yang kena..saya hanya bergurau senda, silalah membeli jangan malu pula.
Sedikit sahaja salahnya tidak megapa, kalau tak tahu bertanyalah pada yang pakarnya..kan ada ramai di sana. Jadi..apa ditunggu apa di nanti, sudi-sudikan membeli ya....... :D



Kalam berpena...

UmmiAin


Saturday, January 12, 2013

Pantun Melanggris..(Melayu-Inggeris), Pantun Versi Baru..


Salam manis dari Ummi...( speaking sikit boleh na. ) :D

Let us read my new entry, at this time Ummi nak try bina pantun dwi bahasa, tengok lagu mana cerita....bukan nak mencemarkan bahasa but ini example sahaja...dalam komunikasi kita sehari-hari pasti mix dengan bahasa-bahasa selain bahasa Melayu bahasa kebangsaan kita, in another word, dipanggil bahasa rojak...don't ever salah sangka, kali ni memang sengaja pantun dibina sebegitu rupa. Sedikit sahaja, jangan banyak, nanti.....kena lanyak :D

Ummi harap all readers like to read such pantuns...please beri komen yang constructive. Ini cuma hiburan sahaja...bukannya apa-apa, yang buruk dan salah datang dari Ummi dan yang cantik dan bijak dari anda semua...Apapun Ummi hanya mencuba.

( ALLAH LAGI MAHA BIJAKSANA )

So, jom kita enjoy baca....senyum ketawa...jangan ketawa senyum dah la ya.....:D


Tanam timun di relau kayu,
Sejuk cuaca subur markisa;
Salam berpantun and how are you,
Tajuk dibaca bercampur bahasa.

Kebaya Cik Maimun tinggal sekerat,
Lama mendobi habislah sabun;
Saya berpantun with all my heart,
Cuma hobi and to release tension.

Buka plastic kasut di meja,
Belilah limau di tepi market;
Jika asyik talk but no kerja,
Rugilah kalau bergaji sedikit.

Turun bukit melayang ke batu,
Halau itik terasa penat;
Don't forget sembahyang fardhu,
Kalau asyik nak buat yang sunat.

Besen kenit basah sebiji,
Main rakit selisih buaya;
A friend in need susah dipuji,
A friend indeed boleh percaya.

Kacau tauhu sedikit taucu,
Habis sate rasa bersalah;
Kalau mahu succeed selalu,
Always pray and ask from Allah.

Early morning berangin monsun;
Kuat berpuput semakin ngeri;
February is coming very soon,
What is your input in January.

Pasaraya Mydin sudah ternama,
 Sangat popular in every country;
Kaya miskin muzakarah bersama,
 Helping each other setiap hari.  


Ni pantun biasa satu bahasa dari Ummi..

Makan nangka dikata sukun,
Laksa Bayu sedap berselera;
Bukan suka-suka mencipta pantun,
Bahasa Melayu tetap terpelihara.

Daun dihimpun di tepi rumpun,
Terkena paku jari terasa;
Mohon diampun jari bersusun,
Kerana pantunku dwi bahasa.

Takkan enggang bersarang di pohon,
Kepala geruda sudahlah mereng;
Bukan senang mengarang pantun,
Sukukata dan nada hendaklah seiring.

Haa, macam mana, anda faham ke pantun di atas....bukan mudah nak membina pantun yang bercampur bahasa ni...keindahan bahasa Melayu mana dapat disamakan dengan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, kalau tak percaya cubalah 'try'..., jangan maghah naa, ni contoh jaa..... :)


Kalam berpena..

UmmiAin

Thursday, January 10, 2013

Pantun Siapa Itu Ya..



Salam hurmat di angin lalu.....saya hanya orang biasa yang bersemangat waja.


Motokar ferrari membelah angin,
Pergi menghala masuk ke Pertak;
Nama sendiri adalah Nur'Ain,
'Ummi' pula untuk anak-anak.

Hendak menanti hari yang indah,
Awal Zuhur mengangkat baja;
Anak jati negeri Kedah,
Tinggal di Selangor tempat bekerja.

Dahulu abaya kini bermini,
Pandangkan diri usah berbangga;
Dahulu saya menjadi kerani,
Sekarangkan menjadi surirumahtangga.

Nyonya menggali ubinya lama..
Baba membawa seraga nangka..
Punya famili ahlinya lima..
Dua hawa tiga jejaka..

Kerengga buta terlepas di cawan,
Sarang di para ada di mana;
Tiga cahayamata emas tempawan,
Seorang dara dua teruna.

Melata tetenun di pasu usang,
Sebelah kaki tidak berbulu;
Mencipta pantun diwaktu senggang,
Itulah hobi sejak dahulu.

Sayur peria diikat jerami,
Tumbuh kepayang dirumput mati;
Syukur saya mendapat suami,
Sungguh penyayang dan lembut hati.

Buru landak dimalam raya,
Nasi impit kuah ketupat;
Baru menapak di alam maya,
Mengisi masa mengasah bakat.

Cerita ditonton pesona semangat,
Ada drama kisah yang sayu;
Ku cipta pantun kerana minat,
Dimasa yang sama mengasah IQ.

Cenderawasih berkepak jingga,
Lama menanti bertahun turun,
Terimakasih yang tidak terhingga,
Kerana sudi berpantun-pantun, 

Blog ni actually blog orang veteran...boleh tahan....remaja purbakan...lagu-lagu pun lagu zaman lagenda tahun lima puluhan. Silalah komen duhai rakan-rakan, kalau ada yang terguris perkataan, usahlah disimpan...

Terimakasih si daun keladi, sama-sama masih boleh berpantun lagi....sedikit cerita tak boleh banyak, kalau nak tahu kenalah rajin-rajin semak ya....maaf jika ada bahasa yang terkalih... anda semua boleh.

Salam ukhuwah dari saya. ^^, thank you so much.


Kalam berpena...

UmmiAin



Tuesday, January 8, 2013

Pantun Mengapa...


Salam hurmat buat semua...andai kita pandai bicara, mengapa pena tiada suara...dalam dunia ini banyak antara kita yang suka 'mengapa', mengapa ya...


Dupa dibuka cemara terang,
Entah mambang meminta tolong;
Mengapa suka bicara temberang,
Lidah bercabang cerita bohong.

Lantai titi lebar dan luas,
Ada jeriji terbuka sendiri;
Andai hati benar dan ikhlas,
Mengapa janji suka mungkiri.

Pulau Melaka dalam kenangan,
Kelapa pandan di atas rakit,
Kalau ada lebam di tangan,
Mengapa badan terasa sakit.

Kerana bumi bercuaca kelam,
Pandang mentari dekat nak mendung;
Mengapa suami pula yang mengidam,
Sedang isteri sarat mengandung.

Pagi gerimis bayu berpuput,
Pulau pandan basah dek hujan;
Dibagi betis hendakkan lutut,
Mengapa badan dipisah-pisahkan.

Suka membaca semua buku,
Makin terserlah diri kedapatan;
Mengapa cuaca tidak menentu,
Mungkin Allah memberi peringatan.

Rasa perit luka di tangan,
Lepas dirawat di sapu ubat;
Mengapa murid suka berangan,
Malas lewat tanggung akibat.

Lidah kebas termakan ceri,
Tiada saya sempat berubat;
Sudah puas kebaikan diberi,
Mengapa kaya mendapat tempat.

Berhelai bulu di pusara hening,
Cenderawasih tercucuk buluh;
Andai mahu ke menara gading,
Mengapa masih berpeluk tubuh.

Masuk soldadu meredah hutan,
Kena berjaga di waktu malam;
Pucuk paku sudah dibelikan,
Mengapa pegaga yang dibuat ulam.

Kerap menonton cerita mana,
Mata memaku tak lepas-lepas;
Berangkap pantun sudah ku bina,
Mengapa hatiku tak puas-puas.


Haa...tudia pantun...sebenarnya ada banyak 'mengapa' dalam kehidupan kita sehari-harian. Mengapa ye, salah satunya cuba 'try' tanya diri sendiri mengapa suka berpantun, jawab sendiri lah ye...^^,



Kalam berpena...

UmmiAin

Sunday, January 6, 2013

Pantun Ummi Ada Lagu 1


Salam hurmat nada berbunyi, lagu Melayu irama asli..kini telah kembali....jom kita dengar pantun halwa telinga..yang Umi olahkan tajuk lagu menjadi pantun, kalau nak dengar lagunya, kenalah 'click' tajuk lagu yang diberi..ye... ^^,



Pekan Meranti mula berbunyi,
Keringat membawa lori kontena;
Bisikan hati di kala sunyi;
Teringat peristiwa memori mana.

Basah peti dihempap kelapa,
Ada terbelah di empat bucu;
Patah hati sebabnya apa,
Kepada Allah tempat mengadu.

Taman Melati selisih pangsapuri,
Bukan cuma tanda di seberang;
Teman pengganti boleh dicari,
Manakan sama bonda seorang.

Retak balang di dalam guri,
Terbelah atap tidak terbawa;
Tak hilang cinta di dalam diri,
Allah tetap bersemarak di jiwa.

Sudah surut banjir di Linggi,
Luar tempias tiada hujan;
Usah diturut mungkir berjanji,

Lidi dihimpun bersambung talian,
Silalah beli jangan ditanya;
Itulah bakti nilai sebenarnya.

Terbelah lima sampan terbuka,
Asap keluar lautan hangus;
Telah lama menyimpan duka,

Tutup badan sejuk di mata,
Keluar ke pekan membeli petai;
Sabar dan iman menjadi pakai.

Sirih bertepak secangkir pinang,
Makan berhajat masih tergantung;
Ikan terjerat beroleh untung.

Lentuk dahan membawa arah,
Tumbuh nangka bukan dipinta;
Untuk menahan kecewa marah,

Seribu kekwa gugur merata,
Daunan redup berseri bunga;
Perjalanan hidup dipagari Syurga.

Ambil penenun di dalam kelambu,
Gebar putih sekali dibawa;
Sambil berpantun bersulam lagu,
Agar yang sedih kembali ketawa.

Sebenarnya banyak lagi lagu-lagu yang boleh di garap dalam pantun, cuba 'try' buat serangkap..
Pantun saya hanya pantun sederhana.....anda juga boleh mencipta....silakan pemantun yang bijaksana..^^,


Kalam berpena...

UmmiAin 


Friday, January 4, 2013

Pantun Guru..

Salam hurmat dan selamat bertahun baru....khusus buat guru-guru, dan guru yang saya paling rindui, Cikgu Aishah Bee sejak zaman sekolah rendah, sebenarnya dah lama nak buat pantun tentang guru ni, sebelum buat blog ni lagi.....jom kita berpantun.




Tutup gua merpati terharu,
Gegar rapat batu di naik;
Hidup di dunia mesti berguru,
Agar dapat ilmu yang baik.

Garu banyak perkara garu,
Nanti terluka terasa pedih;
Guru banyak perkara guru,
Berhati-hati ketika memilih.

Halau piru pulang ke sangkar,
Mati singa bersengkang sendi;
Kalau guru kepalang mengajar,
Seperti bunga kembang tak jadi.

Hendakku balut daunnya mengkudu,
Terkena jari sedu teresak;
Tidak ku tuntut ilmunya guru,
Kalau diri setengah masak.

Ibu melalut lagu gurindam,
Kenangan hiba rawan terharu;
Ilmu dituntut baru semalam,
Jangan dicuba melawan guru.

Kalau bertemu janganlah lama,
Rasa terharu bertemu lagi;
Kalau ilmu kudapat sama,
Usaha guru kusanjung tinggi.

Asah beliung melepuh tangan,
Ubat disapu biru di tapak;
Sudah ku harung tujuh lautan,
Baru bertemu guru yang bijak.

Sudah ku lipat baju berpetak,
Eloklah sapu minyak di kain;
Kalau dah dapat guru yang bijak,
Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin.

Cuaca redup nampak kelabu,
Rembang suasana tiada terang;
Jika hidup tidak berilmu,
Memang hina dipandang orang.

Menjala sepat di tali arus,
Bertemu duri tali terikat;
Bila mendapat guru yang bagus,
Ilmu diikuti menjadi berkat.

Paku berkarat terkena mata,
Berhari saya merasa kelam;
Guru ibarat tiang pelita,
Memberi cahaya setiap malam.

Pekan Rabu belumkan sampai,
Nangka cempedak dibawanya bekal;
Pesan guru jangan diabai,
Jika hendak ilmunya kekal.

Rusa diburu ada sebelas,
Tutup jerat menghadang titi;
Jasa guru tak minta dibalas,
Cukup setakat mengenang bakti.

Delima putih ada di bucu,
Buah nangka jatuh merata;
Terima kasih kepada guru,
Tiada mereka siapalah kita.

Buru tupai terkena tempua,
Kenari terjerat di tepi pagar;
Guru bagai ibubapa kedua,
Memberi nasihat mendidik pelajar.

Gelas biru sudahlah pecah,
Adik merasa jejari ngilu;
Tugas guru bukanlah mudah,
Mendidik bangsa memberi ilmu.

Lembu Pak Lah dapat percuma,
Asyik gembala menunggu masa;
Ibu adalah di tempat pertama,
Mendidik membela sehingga dewasa.

Kendi biru terbelah sudah,
Takkan cuba diletak alu;
Menjadi guru bukanlah mudah,
Impian hamba sejak dahulu.



Hurmatilah guru kerana mereka pemangkin bangsa..jadi guru biar ikhlas, bukan second class, jangan marah naa  ^^, sekian.


Kalam berpena...

UmmiAin 


Thursday, January 3, 2013

Pantun Tinggal kenangan..buat permata hati.


Salam hurmat jiwa syahdu..







Baru meniti hendak berjalan,
Rawan kenangan lelah berbagi,
Syahdu hati tidak kesampaian,
Haiwan kesayangan telah 'pergi'...

Mengah letih bersulam rindu,
Sering kenangan dihentak peristiwa;
Angah sedih memendam pilu,
Kucing kesayangan tidak bernyawa.

Masih terbayang terkancing suara,
Hingga nadi mencengkam raga;
Kasih sayang kucing dipelihara,
Semoga abadi di dalam Syurga.


Kalau dah memang penyayang...


Kalam berpena...

UmmiAin