Thursday, December 13, 2012

Pantun Tanjak Destar dan Tengkolok Melayu...


Salam hurmat...

Boleh tahu besar memparang..
Rumpun bersarang pesan mencari..
Beroleh info sumber seberang..
Pantun dikarang olahan sendiri...

Kelam teramat cahaya di laut..
Kaca melantun membawa bunga..
Salam hurmat saya menjemput..
Membaca pantun berhalwa telinga..

Jejak sabar hingga ke Golok..
Berjaga sampai lama tersangkut..
Tiga serangkai nama disebut..

Lima puteri menurut cerita..
Sampai menangis bertemu Raja..
Nama diberi mengikut cipta..
Dipakai dimajlis tertentu sahaja..

Bercerai lama dendam pasrah..
Tidak berdaya hendak bersama..
Berbagai nama dalam sejarah..
Segak bergaya lagak panglima..


Tanjak Lang Melayang

Tulang dimayang lama berhablur..
Serai diketuk kari betutu..
Lang Melayang nama termasyhur..
Dipakai Datuk negeri Terengganu..

Selamat tinggal wahai cik adik..
Derai tangis menantu raja..
Amat terkenal sebagai solek..
Dipakai di majlis tertentu sahaja..

Tanjak Laksamana Terengganu

Tapak buaya terang dan lebar..
Jejak di pantai ke mana menuju..
Tampak bergaya seorang pembesar..
Tanjak dipakai Laksamana Terengganu..

Sedikit garam sedang diramas..
Helaian mengkudu mulai layu..
Songket hitam berbenang emas..
Pakaian hulu Menteri Melayu..

Destar Datuk Bija Di Raja

Gitar diketuk dara teruja..
Kelat sedikit kerana bisa..
Destar Datuk Bija DiRaja..
Ikat Lilit pesona bahasa..

Tukar papan diberi baru..
Diketam retak terkena dawai..
Orang Besar Lapan Negeri Terengganu..
Hitam dan perak pesona dipakai..


Tanjak Temalong Budu

Kalung syahdu kurniaan negeri..
Masuk daerah sangat teruja...
Temalong budu panggilan diberi..
Untuk anugerah pingat diraja..

Pandai seloka indah menyengat..
Terangkat sudah terang bahasa..
Dipakai ketika anugerah pingat..
Pangkat rendah orang biasa..

Tanjak Dagang Sakit Di Rantau

Sejak petang langit mengimbau..
Pesona kalbu awan berarak..
Tanjak dagang sakit di rantau..
Berwarna kelabu dan juga perak...

Lantai ditebuk terkena duri..
Berhari membina lesu pulak..
Dipakai Datuk pesona negeri..
Seri warna kelabu dan perak..


Tengkolok Putera Indera Kayangan

Tinggal sepurnama impian memuja..
Melentuk suara dara pingitan..
Asal bernama pakaian Di Raja...
Tengkolok Putera Indera Kayangan..

Kerana terjolok ranting kemboja..
Dada berdarah menitik di tangan..
Warna tengkolok kuning diraja..
Ada sejarah dibalik kemerdekaan..


 Tanjak Sebang Selat

Pandai tiada sajak rohani...
Bertanya menegur bersimpul alasan..
Sampai kepada tanjak yang ini...
Empunya Negeri Selangor Darul Ehsan..

Lumut Perak abang dah dekat..
Impian mekar mari digembur..
Disebut Tanjak Sebang Selat..
Pakaian pembesar Negeri Selangor..


Tanjak Pari Mudik

Kabutlah nampak mari ditilik..
Tercucuk pedih dibubuh lenga..
Tersebutlah Tanjak pari Mudik..
Pucuk sirih jatuh di telinga...

Pandai berperi selembar bahasa..
Sultan penyeri mekar termasyhur..
Dipakai Dato'Abu Bakar Baginda..
Mantan Menteri Besar Selangor..


Tanjak Lang Patah Sayap

Bijak berperang salah perangkap..
Perlu bersemi untuk selama..,
Tanjak Lang Patah Sayap...
Dipakai hulu rasmi datuk panglima..

Mainnya jengket ke mana arah..
Abang menyergah terpaksa lalu..
Kainnya songket berwarna merah...
Lambang gagah perkasa Melayu..


Pucuk Pisang Patah Sehala

Ketuk kompang sudah bermula..
Gerak diatur tari irama..
Pucuk Pisang Patah Sehala..
Tanjak termasyhur diberi nama..

Dekat Johor mari dijejak..
Pantai singgahan selalu di hala..
Amat tersohor di Negeri Perak...
Dipakai Sultan dahulu kala...


Destar Lang Patah Kepak

Gambar semalam sudah terletak..
Berkenan teruna dada berketak..
Destar Ayam Patahlah Kepak..
Persalinan Raja Muda Perak..

Kerana tegar sering terkena..
Hutang dahulu berpura sahaja...
Warna latar kuning kencana..
Bulang hulu Putera Di Raja..


Tengkolok Mumbang Belah Dua

Mengetuk pinang lelahlah jua..
Andai dimakan kelatlah pulak..
Tengkolok Mumbang diBelah Dua..
Dipakai Sultan amatlah segak..

Jolok kuini buah meletup...
Buah setangkai belum dimakan..
Tengkolok ini sudah termaktub..
Pernah dipakai Al Marhum Sultan..


Destar Lang Sioh

Tempua berkepak kerana lena..
Terbiar puyuh bebal di telaga..
Ungu tua dan perak pesona warna..
Destar Lang Sioh terkenal juga..

Saya bekerja tampil bersarung..
Gentar tidak tiada debaran..
Gaya perkasa Raja Kecil Sulung..
Dastar terletak tanda gelaran..


Lang Menyongsong Angin

Gundah puteri lama terkubur..
Hambar berpuput bersambung dingin..
Sudah diketahui nama termasyhur...
Dastar disebut Lang Menyonsong Angin..

Rodat dialun indah irama..
Lepas gemalai manja mengukir..
Adat bersantun sejarah lama..
Kemas dipakai Raja Di Hilir..

Destar Getam Pekasam


Camar bercengkerama dimalam kelam..
Derai kasar hujan mengena..
Destar bernama Getam pekasam..
Dipakai pembesar kanan istana..

Setor berketang berisi delima..
Dikuak sabar bersih diatur..
Selangor dan Pahang berkongsi sama..
Juak dan pembesar beroleh masyhur..


Destar Balung Ayam

Petik kundang tegak cahaya..
Bakar relung alam berpuput..
Cantik dipandang segak bergaya...
Destar Balung Ayam disebut..

Dalam ku renang hening pesona..
Jejak bertapak jelas sehala..
Bersulam benang kuning kencana..
Tampak segak di atas kepala..



Tengkolok Alang Iskandar

Bukan selalu jaring di pantai..
Cangkuk hilang tersungkur semua..
Ikatan hulu sering dipakai..
Tengkolok Alang Iskandar termasyhur jua..



Tanjak Sekelongsong Bunga

Tetak rebung kenanga yang kena..
Kari memparang secembul sayur..
Tanjak Sekelongsong Bunga pesona.....
Negeri Pahang Darul Makmur..

Bentara berjasa hebat bekerja..
Namun menusuk kala bicara..
Antara biasa dan kerabat diraja...
Daun dan pucuk sula membeza..


Destar Raja Naik Bersiram

Pasar berjaja sampai kemalam..
Lama mencari petai dan garam..
Destar Raja Naik Bersiram...
Nama diberi bagai gurindam..

Sukar bekerja kenapa merintih..
Nyonya mengampai baju yang basah..
Destar diraja berwarna putih...
Hanya dipakai tuanku yang memerintah..


Destar Getam Budu

Derai hambar alam kelabu..
Pesona mengimbau awan di kota..
Pakai destar si Getam Budu...
Berwarna hijau hiasan mahkota...

Irama santai menusuk segar..
Tempua di dahan terkejut terbang..
Cuma dipakai Datuk dan Pembesar...
Rahsia disimpan maksud dilayang..

Destar Cogan Daun Kopi

Trauma serik nyonya terkena..
Sampai pedih tangan dan jari..
Nama yang unik empunya makna..
Dipakai oleh Sultan bestari..

Selagi Syurga indah azali..
Tegar agama rangkuman hati...
Bersegi tiga mudah dikenali..
Destar bernama Cogan Daun Kopi..

Tanjak Kacang Sehelai Daun

Sejak petang membuai alun..
Ambang sinaran lautan nian..
Tanjak Kacang Sehelai Daun...
Lambang kesuburan dan kesatuan..

Kalau ditanya tidak berdaya..
Tangisan berhari seakan telus..
Hijau warnanya segak digaya...
Warisan Negeri Sembilan Darul Khusus...


Sarang Kerengga

Barang berharga dierima sudah..
Gambar siapa berkenan teruna..
Sarang Kerengga nama terindah...
Berkembar rupa berlainan makna..

Petai sepetak tumbuh papaya..
Dekat sekerat habis dibaja..
Dipakai segak penuh bergaya...
Adat isti'adat majlis diraja..


Tengkolok Kacang Dua Daun

Teluk Berembang jua berkebun..
Adik terima tanda bertanya.
Tengkolok Kacang Dua Daun...
Disebalik nama ada maksudnya..

Kelam mentari meruntun petang..
Pantai beralun irama lautan..
Ilham dari dedaun kacang...
Dipakai tahun lima puluhan..


Helang Menyambar

Pulang Kampar cuma berurut..
Kembar melekat di zaman dahulu..
Helang Menyambar nama disebut..
Destar beradat pakaian hulu...

Ampaian satin sulaman baldu..
Melambai cuma disapa bayu..
Pakaian pengantin zaman dahulu...
Bagai panglima perkasa Melayu..



Dendam Tak Sudah
Dendam Tak Sudah 2

Gurindam madah karangnya pasti..
Tulisan sendiri gambar diberi..
Dendam Tak Sudah bukannya hati...
Panggilan diberi dastar negeri..

Rambai diperoleh segar berhari...
Hingga muatan tenggelam kerananya..
Dipakai oleh pembesar negeri..
Tiga lipatan hitam warnanya..


Tanjak Dendam Berahi

Tanam ubi petola mati..
Bajak landai berdaya guna..
Dendam Berahi pula menanti...
Tanjak dipakai gaya istana..

Cahaya pantai segar dan syahdu..
Petang kelak mencari awan..
Bergaya dipakai pembesar dahulu..
Undang Luak Negeri Sembilan..


Ketam Budu Setangan Isih

Malam syahdu kenangan pedih..
Hambar kesal ke mana gerangan..
Ketam Budu dan Setangan Isih..
Destar terkenal di istana Kelantan..

Bulang Hulu

Pulang dahulu semoga sampai..
Tempua mengintai ke mana bayan..
Bulang Hulu juga tersenarai...
Semua dipakai di istana Kelantan..


Destar Sudu Itik

Sudah dicuba hendak berjalan..
Ke Pasar Pudu bawa bekalan..
Kedah juga tidak ketinggalan...
Destar Sudu Itik nama panggilan..


Belah Mumbang

Lentur petola nyonya menarah..
Telah tumbang dahan mencupu..
Johor pula empunya sejarah..
Belah Mumbang pakaian dahulu..

Ampai seluar di bawah suhu..
Lambaian bayu tempiasan pohon..
Bagai layar sebuah perahu..
Pakaian Melayu ratusan tahun...


Tanjak Laksamana Johor-Riau

Letak di mana anggur dan limau..
Papaya terlebih sampai mengecut..
Tanjak Laksamana Johor Riau..
Digaya oleh pegawai di laut..

Destar Lubang Layar

Kembang setangkai mekar teratai..
Paya Lebar peri termasyhur..
Lubang Layar destar dipakai..
Gaya Pembesar Negeri Johor..

Destar Tebing Laksamana

Destar Tebing Runtuh

Sunting angsana rantingnya rapuh..
Sangkar kotor siburung puyuh..
Tebing Laksamana dan Tebing Runtuh..
Destar Johor bersambung teguh..


Destar Laksamana Kedah
Destar Temenggong Kedah

Ke mana tuan merenung sudah..
Mangkuk seramik pecah percuma..
Laksamana danTemenggong Kedah...
Bentuk unik segagah nama..



Destar Siga

Rebah padi di sawah Melayu..            
Terbiar mangga melentik jerami..
Sabah Bumi Di Bawah Bayu..
Destar Siga etnik peribumi..



Tengkolok Bugis Tak Balik

Cencalok di pasar habis di kelek..
Bekal kenangan buat melawak..
Tengkolok digelar Bugis Tak Balik...
Terkenal di kalangan masyarakat Sarawak..

Pasar Golok mangga selambak..
Hiasan pasu di taman indah..
Destar, tengkolok dan juga tanjak..
Warisan Melayu di zaman Hang Tuah..

Memberi pantun tiada penonton..
Belum berjaya mengarang sambung..
Jari bersusun tanda memohon..
Maklum saya orang kampung...



Kalam berpena..

UmmiAin 


3 comments:

  1. jalan-jalan ke rantau panjang
    langkah seberang sungai golok
    umur kini dah besar panjang
    belum pernah pakai tengkolok

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pulau Sipadan pantai berteluk..
      Pasti ku jejak badai bersama..
      Kalau tuan memakai tengkolok..
      Pasti segak bagai panglima..

      Delete
  2. Sungguh segak memanda Menteri,
    Diiringi oleh hulubalang terbilang,
    Hidup ini biar berbudi,
    Agar sentiasa dikenang orang.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^