Monday, December 31, 2012

Pantun Dari Filem Melayu Klasik..


Salam hurmat buat orang lama dan salam manis buat orang muda...


Kali ni Ummi mengabdikan koleksi pantun dari filem-filem Melayu Klasik yang sememangnya sangat mempesona, sangat indah dan punya makna-makna kiasan berlapik bahasa. Di sini ada juga beberapa rangkap pantun olahan Ummi sendiri tapi idea asal Ummi ambil sedikit dari pantun yang di atasnya.... teruja dan minat sesangat dengan bahasa kiasan yang terdapat dalam dialog filem-filem klasik, tak percaya jom kita 'click' , baca dan hayati pantun yang ada.. ^^,

Paling popular...

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.

Kijang rimba berlegar masuk,
Bertalu datang meredah tasik;
Kajang hamba tikar yang busuk,
Baru dibentang sudah tercarik.
( versi Ummi...)

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Subur padi di dalam petak,
Esok tangan tuai-tuaikan;
Tabur budi kelam tak nampak,
Esok jangan abai-abaikan.
( versi Ummi...)


1.
Sayang cik embung menganyam tikar,
Tikar dianyam simengkuang jantan ;
Burungnya sudah disangkar,
Tidakkah pulak jadi gangguan.

Sarung Kedah bersulam mawar,
Tercucuk peniti sakit mengerang;
Burung sudah di dalam sangkar,
Tidakkah nanti difitnah orang.
( versi Ummi...)

2.
Burung dipikat dari ulu,
Beri makan bunga kantan;
Rahsia sudah sesama tahu,
Apa pulak Datuk nak segan.

Rusa buta terbelah bahu,
Mati dipalu sinyonya pekan;
Rahsia dicerita tidaklah mahu,
Nanti malu empunya badan.
( versi Ummi )

Purnama indah di rimba kelam,
Mengapa suria tumpang berteduh;
Delima merah yang hamba tanam,
Mengapa pula peria yang tumbuh.
( versi Ummi...)


1.
Naik kolek jangan tersenget,
Isi barang sampai keluar;
Sungguh cantik bulan di langit,
Muram oleh wajah cik puan.
Filem Hang Tuah - 1956 )

Tumbuh sudah serumpun kunyit,
Rendam selasih di dalam guri;
Sungguh indah bulan di langit,
Kelam oleh wajah tuan puteri.
( versi Ummi...)

2.
Burung nuri burung helang,
Tidak sama terbang tinggi;
Sekarang puteri berangkat pulang,
Bila pula berjumpa lagi.
Filem Hang Tuah - 1956 )

Sarang nuri di batang mengkudu,
Mati tempua disiram api;
Sekarang puteri pulang beradu,
Nanti bersua di alam mimpi.
( versi Ummi...)

3.
Kain buruk tepi perigi,
Dibuat orang pengesat belanga;
Esok kita berjumpa lagi,
Tunggulah Teja di taman bunga.
( Filem Hang Tuah - 1956 )

Ketuk bata martun bergigi,
Takkan cuba memberi paku;
Esok kita berpantun lagi,
Nantikan hamba dientri baru.
( versi Ummi...)


Ha, dipersilakan anda membuat penilaian sendiri dari segi rima dan sukukata dan bunyi pantun-pantun klasik orang lama....apabila dibaca.


Makan petai makan tairu,
Tetamu diberi hamper berisi ;
Bukan memandai bukan meniru,
Ilmu dicari sumber inspirasi.



Kalam berpena..

UmmiAin 


8 comments:

  1. di manis gula semut binasa
    kail berduri bersalut umpan
    di manis kata insan terlena
    kerana budi jiwa terkorban

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kail berduri bersalut umpan,
      Terasa disengat ikan pirahna;
      Kerana budi jiwa terkorban,
      Sentiasa beringat takkan merana.


      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Burung terbang di awan biru,
    Berlagak megah di angkasa;
    Pantun lama pantun baru,
    Indah bersulam seni bahasa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Santun bernama santun Melayu,
      Bertepuk tangan gendang digalas;
      Pantun lama dan juga baru,
      Tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.

      Delete
  4. waktu pagi membuka tingkap,
    dibuka pula oleh nini,

    sejarah lama telah diungkap,
    menjadi pengikut di masa kini,

    ReplyDelete
    Replies
    1. Merah delima lekat dimakan,
      Terlekat bijian perut pun sebu;
      Sejarah lama buat rujukan,
      Buat kajian penuntut baru.

      Delete
  5. Mohon ambil pantunnya utk persembahan? Tq

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^