Sunday, December 30, 2012

Pantun Dalam Setahun..



Salam bahagia dan salam hurmat buat peminat pantun...


Makan bihun menyusul kari..
Buat sarapan sedikit bekalan..
Dekat setahun mengumpul memori..
Manis disimpan pahit ditelan..

Pak Tua berjalan kaki melepuh..
Sambil ketawa menunggu isteri..
Kesemua bulan sudah di tempuh..
Sejuta peristiwa seribu memori.

Basah benang terlekat di gigi..
Kelam kabut membasuh di air..
Usah dikenang pada yang pergi..
Kita sambut yang baru lahir.

Beli mainan rosak dan hancur..
Ikan di kuala di makan ular..
Majlis perkahwinan banyak diatur..
Perceraian pula makin menular.

Kain pelikat empunya siapa, 
Kebarung lawa berbelah bahu, 
Umur meningkat maknanya apa; 
Penghujung nyawa tidaklah tahu.. 

Rasa peria memang pahit, 
Entah petola dimakan siput, 
Sisa usia makin sedikit.; 
Entah bila akan dijemput. 

Kuku cuma diberus dicelup, 
Jari terluka kelihatan biru, 
Buku lama harus ditutup; 
Mari buka lembaran baru. 

Ulam mentimun kuah serawa, 
Selera terbuka pekasam goreng, 
Dalam setahun berbuah peristiwa; 
Gembira, duka bersulam seiring. 

Malam nanti permainan terup, 
Kemudian berlari terus diperhati, 
Dalam meniti perjalanan hidup; 
Ujian diberi harus diteliti. 

Tiram bertimbun dibawa ke hilir, 
Rezeki melimpah Tuhan memberi; 
Dalam setahun peristiwa diukir; 
Bakti dicurah seruan dicari. 

Batang serumpun mudah dicabut, 
Ambil tenggala mencucuk sawah, 
Hari ulangtahun meriah disambut; 
Tahlil pula untuk arwah. 

Bawa paku bersama sepana, 
Lupa pahat serta pengadang, 
Peristiwa berlaku di luar sana; 
Betapa berat mata memandang. 

Laksa dan bihun hendak dijaja, 
Mempelam delima harum setangkai, 
Masa setahun tidak terasa; 
Azam lama belum tertunai.

Puteri menari mengalun lagu,
Langkah diatur selisih kemas,
Hari berganti setahun berlalu;
Hendaklah bersyukur masih bernafas.


Alhamdulillah..bila ku celek mata, rupanya masih bernyawa.. ^^,


Kalam berpena..

UmmiAin 

2 comments:

  1. Makan mee hoon kedai selera,
    Bersama dengan si buah hati;
    Habis setahun kita bercanda,
    Tahun hadapan berpantun lagi.

    ReplyDelete
  2. Seketul bata di tepi kaca,
    Susun papan di bumbung tinggi,
    Selagi mata diizin membaca;
    Tahun hadapan bersambung lagi,

    Delima putih tergantung di dahan,
    Ingin cikpuan memakai di jari,
    Terimakasih sekalung intan;
    Kerana tuan sering kemari.

    ReplyDelete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^