Saturday, November 24, 2012

Pantun Peribahasa..

Assalam...dalam hujan gerimis Ummi mengarang pantun secebis....jangan lupa baca sampai habis...Ummi dengan bahagianya menanti pembelian pantun dari anda yang budiman....^^


Rimbun markisa seguri delima..
Sebelah mata tenguk si nona..
Pantun peribahasa diberi nama..
Marilah kita menjenguk makna..

Meranti jawa basah dilurut..
Pandai membaca kelas bermutu..
Hati kecewa usah diturut...
Bagai kaca terhempas ke batu..

Limau purut haluan memparang..
Peti kelabu di pondok nibung..
Terlalu menurut kemahuan orang..
Seperti lembu dicucuk hidung..

Serai bayam direndam dicelur..
Kari ditumis melatah haruan..
Bagai ayam mengeram telur..
Berseri manis wajah cik puan..

Pesona fajar semarak kemilau..
Telah mengintai cahaya temu..
Laksana mengajar anak harimau...
Sudahlah pandai kaya berlmu....

Pandai selangit dagangan masyhur..
Indah suara damai dilihat..
Bagai kunyit dengan kapur...
Mudah mesra ramai sahabat...

Juntai ranting melentuk petola..
Terlekat kuaci berpeluh sidia..
Bagai anjing buruk kepala...
Jahat dibenci seluruh dunia..

Dekat mata berkuat naik..
Takkan punah nadi di sendi..
Ibarat kata berbuat baik..
Bukan tanah menjadi padi...

 Tangis sedu entah menghilang..
 Kemana hala dahulu dipuja..
Habis madu sepah dibuang..
Berguna tatkala diperlu sahaja..

 Dekat busut sepi sepetang..
Andang diletak ada di mana..
 Ibarat melukut di tepi gantang..
Dipandang tidak tiada berguna..


 Ada lagi sambungan....


Kalam berpena..

UmmiAin 


2 comments:

  1. Anak Cina duduk makan,
    Makan kerang dengan cuka;
    Peribahasa lama jadi ingatan,
    Susunan orang dahulu kala.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Irama Melayu gemalai hebat..
      Hendak berdua sudi memujuk..
      Lama dan baru bagai nasihat..
      Banyak petua menjadi petunjuk..

      Cenderawasih mati di titi..
      Pohon imbauan di rimba kasturi...
      Terimakasihlaa berpeti-peti.
      Pantun tuan hamba hargai....^^

      Delete

Salam hormat dari Ummi buat para pembaca dan pemantun yang Ummi sayangi tidak kira usia....

Jemputlah berpantun bersama Ummi dan sama-sama kita memartabatkan warisan nenek moyang zaman berzaman, namun setiap pantun anda hendaklah berkaitan dengan tema pantun yang sedia ada.....setiap pantun Ummi yang dipaparkan adalah hak cipta terpelihara dan sebarang hasrat untuk menciplak sebarang entri di sini hendaklah mendapat keizinan dari Ummi, semua pantun sumbangan anda akan Ummi ukirkan dibuku kenangan tanda penghargaan yang tidak berbelah bagi....terimakasih secawan kopi semanis madu buat anda yang telah menyumbangkan pantun yang amat berharga.... ^^

Santun cantik pasangan mempelai,
Menanti gugup mengadap mertua;
Pantun setitik sumbangan bernilai,
Pasti termaktub meresap dijiwa.... ^^

Turun perangkap menggagau jerat,
Petik kelapa memakai tangga;
Pantun berangkap walau dua kerat,
Tak cantik tak ngapa bernilai berharga.... ^^