Monday, December 31, 2012

Pantun Dari Filem Melayu Klasik..


Salam hurmat buat orang lama dan salam manis buat orang muda...


Kali ni Ummi mengabdikan koleksi pantun dari filem-filem Melayu Klasik yang sememangnya sangat mempesona, sangat indah dan punya makna-makna kiasan berlapik bahasa. Di sini ada juga beberapa rangkap pantun olahan Ummi sendiri tapi idea asal Ummi ambil sedikit dari pantun yang di atasnya.... teruja dan minat sesangat dengan bahasa kiasan yang terdapat dalam dialog filem-filem klasik, tak percaya jom kita 'click' , baca dan hayati pantun yang ada.. ^^,

Paling popular...

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang saya musafir lalu.

Kijang rimba berlegar masuk,
Bertalu datang meredah tasik;
Kajang hamba tikar yang busuk,
Baru dibentang sudah tercarik.
( versi Ummi...)

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Subur padi di dalam petak,
Esok tangan tuai-tuaikan;
Tabur budi kelam tak nampak,
Esok jangan abai-abaikan.
( versi Ummi...)


1.
Sayang cik embung menganyam tikar,
Tikar dianyam simengkuang jantan ;
Burungnya sudah disangkar,
Tidakkah pulak jadi gangguan.

Sarung Kedah bersulam mawar,
Tercucuk peniti sakit mengerang;
Burung sudah di dalam sangkar,
Tidakkah nanti difitnah orang.
( versi Ummi...)

2.
Burung dipikat dari ulu,
Beri makan bunga kantan;
Rahsia sudah sesama tahu,
Apa pulak Datuk nak segan.

Rusa buta terbelah bahu,
Mati dipalu sinyonya pekan;
Rahsia dicerita tidaklah mahu,
Nanti malu empunya badan.
( versi Ummi )

Purnama indah di rimba kelam,
Mengapa suria tumpang berteduh;
Delima merah yang hamba tanam,
Mengapa pula peria yang tumbuh.
( versi Ummi...)


1.
Naik kolek jangan tersenget,
Isi barang sampai keluar;
Sungguh cantik bulan di langit,
Muram oleh wajah cik puan.
Filem Hang Tuah - 1956 )

Tumbuh sudah serumpun kunyit,
Rendam selasih di dalam guri;
Sungguh indah bulan di langit,
Kelam oleh wajah tuan puteri.
( versi Ummi...)

2.
Burung nuri burung helang,
Tidak sama terbang tinggi;
Sekarang puteri berangkat pulang,
Bila pula berjumpa lagi.
Filem Hang Tuah - 1956 )

Sarang nuri di batang mengkudu,
Mati tempua disiram api;
Sekarang puteri pulang beradu,
Nanti bersua di alam mimpi.
( versi Ummi...)

3.
Kain buruk tepi perigi,
Dibuat orang pengesat belanga;
Esok kita berjumpa lagi,
Tunggulah Teja di taman bunga.
( Filem Hang Tuah - 1956 )

Ketuk bata martun bergigi,
Takkan cuba memberi paku;
Esok kita berpantun lagi,
Nantikan hamba dientri baru.
( versi Ummi...)


Ha, dipersilakan anda membuat penilaian sendiri dari segi rima dan sukukata dan bunyi pantun-pantun klasik orang lama....apabila dibaca.


Makan petai makan tairu,
Tetamu diberi hamper berisi ;
Bukan memandai bukan meniru,
Ilmu dicari sumber inspirasi.



Kalam berpena..

UmmiAin 


Sunday, December 30, 2012

Pantun Dalam Setahun..



Salam bahagia dan salam hurmat buat peminat pantun...


Makan bihun menyusul kari..
Buat sarapan sedikit bekalan..
Dekat setahun mengumpul memori..
Manis disimpan pahit ditelan..

Pak Tua berjalan kaki melepuh..
Sambil ketawa menunggu isteri..
Kesemua bulan sudah di tempuh..
Sejuta peristiwa seribu memori.

Basah benang terlekat di gigi..
Kelam kabut membasuh di air..
Usah dikenang pada yang pergi..
Kita sambut yang baru lahir.

Beli mainan rosak dan hancur..
Ikan di kuala di makan ular..
Majlis perkahwinan banyak diatur..
Perceraian pula makin menular.

Kain pelikat empunya siapa, 
Kebarung lawa berbelah bahu, 
Umur meningkat maknanya apa; 
Penghujung nyawa tidaklah tahu.. 

Rasa peria memang pahit, 
Entah petola dimakan siput, 
Sisa usia makin sedikit.; 
Entah bila akan dijemput. 

Kuku cuma diberus dicelup, 
Jari terluka kelihatan biru, 
Buku lama harus ditutup; 
Mari buka lembaran baru. 

Ulam mentimun kuah serawa, 
Selera terbuka pekasam goreng, 
Dalam setahun berbuah peristiwa; 
Gembira, duka bersulam seiring. 

Malam nanti permainan terup, 
Kemudian berlari terus diperhati, 
Dalam meniti perjalanan hidup; 
Ujian diberi harus diteliti. 

Tiram bertimbun dibawa ke hilir, 
Rezeki melimpah Tuhan memberi; 
Dalam setahun peristiwa diukir; 
Bakti dicurah seruan dicari. 

Batang serumpun mudah dicabut, 
Ambil tenggala mencucuk sawah, 
Hari ulangtahun meriah disambut; 
Tahlil pula untuk arwah. 

Bawa paku bersama sepana, 
Lupa pahat serta pengadang, 
Peristiwa berlaku di luar sana; 
Betapa berat mata memandang. 

Laksa dan bihun hendak dijaja, 
Mempelam delima harum setangkai, 
Masa setahun tidak terasa; 
Azam lama belum tertunai.

Puteri menari mengalun lagu,
Langkah diatur selisih kemas,
Hari berganti setahun berlalu;
Hendaklah bersyukur masih bernafas.


Alhamdulillah..bila ku celek mata, rupanya masih bernyawa.. ^^,


Kalam berpena..

UmmiAin 

Tuesday, December 25, 2012

Pantun Orang Utagha ( Utara )


Salam bahagia dan salam hurmat...jom baca pantun sat...
Paih ( lepas ) tu kita pi lawat Kedah dan Penang tau...( Mahap naa..bukan pencemaran bahasa..:D )
Mengkalu ( kalau ) tak tau tempat dia..tengok peta.




Nindiaaa pantun...^^,


 Mari bersampan di tepi muara..
Tali kecapi dah ikat dah..
Dari Selatan nak pi Utara..
Naik keretapi singgah sat Kedah..

Terang sudah empat pusara..
Talkin dibekai ( bekal ) menuju barzah..
Orang Kedah loghat utara..
Rajin menjuai ( menjual ) dah maju dah..

Masa bertunang hanyalah sekejap..
Kerana merajuk putuih sat sat..
Laksa Penang punyalah sedap..
Pekena seperiuk teruih ( terus ) melekat..

Selendang indah bertema seroja..
Pelikat teruna perkasa seribu..
Penang dan Kedah kan sama ja..
Loghat utagha bahasa Melayu..

Anak cik Maimun mengena kebaya..
Mari berjalan ke Pekan Cyber..
Nak buat pantun lagu mana gaya..
Jari dok bentan pi tekan computer..

Dok terperonyok tanda terkenang..
Aduh dilanyak dengan kereta..
Pokok nyok ada di Pulau Pinang..
Tumbuh banyak di Padang Kota...

Pecah sendi melintang katei..( katil )
Basah dada berbau hapak..
Sawah padi bendang dipanggei..( panggil )
Di Kedah ada di Penang tak nampak..

Sakit kebaih ( kebas ) terlolong teresak..
Tangan adik terkatuk ( ketuk ) meja..
Mangkit ( bangun ) lekaih tolong masak..
Jangan asyik dok tang tu ja..

Suami bukan sebarang suami..
Pulang kebun sarat berangan..
Mami bukan sebarang mami..
Gelang bersusun sekerat lengan..

Sorang berenang kemain ceria..
Basah tola ( tuala ) mandi kat pantai..
Orang Penang bermain boria..
Kedah pula menari inai..


Tudiaa....bahasa oghang utagha, lagu tu la kira-kira ( lebih kurang ), Kedah campug Penang...amacam..buleh faham dakk, ada lagi dok mai....^^


Kalam berpena...

UmmiAin 


Monday, December 24, 2012

Pantun Kalau...Berkalau..

Salam bahagia dan salam hurmat...


Kilau paya mencari lokan...
Apa terlekat di perahu kayak..
Kalau tuan menjadi ikan..
Mengapa pukat selalu koyak...

Relau kenari di tepi pasu..
Entah sempat berbunyi lagi..
Kalau diri menjadi bisu..
Tidaklah dapat ku nyanyi lagi..

Limau purut di dahan mati..
Hendak ku petik kerana harum..
Kalau ku turut rawan di hati..
Hendak ku jentik terkena jarum..

Harimau Malaya pandai menari..
Tarian rancak di stadium bola..
Kalau saya sebagai permaisuri..
Tuan segak tersenyum pula..

Gagau sepat terkena gigit..
Kerana salah tuli dan buta..
Kalau dapat sejuta ringgit..
Ku bina sekolah ku beli kereta..

Kalau puan berkain batik..
Jangan lupa menabur bunga..
Kalau impian menjadi cantik..
Jangan lupa bersyukur dan berdo'a..

Kemilau redup disapa bayangan..
Cerah purnama terserlah indah..
Kalau hidup tanpa pegangan..
Pincanglah agama rosaklah 'aqidah..

Limau bali besar dan khasiat..
Makan sungguh bersuap sakan..
Kalau sekali bertukar jahat..
Akan membasuh setiap kebaikan..

Badai redup lalu di pulau..
Senja berlabuh lautan Kendi..
Andai hidup selalu berkalau..
Kerja bertangguh takkan menjadi..

Begitulah kalau selalu berkalau...macam lagu Kak Nita.., betul takk.. :D


Kalam berpena..

UmmiAin 

Saturday, December 22, 2012

Pantun Jenaka Sedikit...^^


Salam hurmat salam senyum..^^

Dalam paya mencari itik..
Ketapang seribu teratak tua...
Salam ceria jari mengusik...
Tumpang lalu setapak dua...

Haha..

Turun kedidi pipit perhati..
Kala bernyawa bersambung aksi...
Pantun komedi mencuit hati...
Bila ketawa melopong gusi...

Waduh waduh..
Letak tilam baru dibeli..
Mata berkenyit kerana pening..
Lagak macam Angelina Jolie..
Rupanya monyet sedang berposing..


Senyum kambing

Duduk meraut sebelum memetik..
Buat anyaman untuk Cik Melah..
Tok janggut tersenyum mengejek..
Melihat tuan berkasut sebelah..


Amboi..buka u tube ye
Jalan sehala simpang di kuala..
Cuba bertanya sampai bertepuk..
Adik mula pening kepala...
Bila kucingnya pandai berfesbuk..


Haha....ada lagi..



Kalam berpena..

UmmiAin 


Friday, December 21, 2012

Pantun Rajuk...


Salam hurmat....


Mengait kuini dekat setimbun..
Kebun lecah segar dan subur..
Hamba ini ibarat mentimun..
Menggolek pecah dilanggar hancur..

Pecah periuk tumpahlah gulai..
Ikan merah di atas para..
Sudah ku pujuk sambil membelai...
Entahkan marah masih membara..

Kijang rimba siang berlalu..
Berlari hendak ke mana pergi..
Kajang hamba mengkuang layu...
Sudah tidak berguna lagi..

Selasih berderai jatuh di tepak..
Salah guri letaknya tinggi...
Kasih ku tuai tidak ternampak..
Biarlah diri ku bawak pergi...

Buaya lelah hendak menggelupur..
Rentap kera tersentil mati.
Saya bersalah tidak menegur..
Harap saudara tak ambil hati..

Papaya sejuk terbelah lima...
Kulat subur di tepi setawar..
Saya merajuk tidaklah lama..
Solat dan tafakur menjadi penawar..

Sikit-sikit ja....tak boleh banyak...^^


Kalam berpena..

UmmiAin 


Monday, December 17, 2012

Pantun Hakikat...


Salam hurmat salam berpantun....


Kuntum beringin masih berkembang..
Petola tua sudah dipetik..
Sebelum kahwin kasih dek abang..
Segala jua indah dan cantik..

Rasa di dada di ambang dendam..
Tegang genting sama bertalu..
Masa muda memang mengancam..
Pinggang ramping umpama ratu..

Biru pelamin buatan baldu..
Bayang senja pautan mata..
Baru berkahwin berbulan madu..
Sayang, manja, intan dan cinta..

Malu bermain mudah terluka..
Mengapa mata pedih berduri....
Baru berkahwin indah belaka..
Apa diminta boleh diberi...

Suri tua bertambah lega..
Bisa terbiasa mengisi delima...
Dari dua bercambah tiga..
Masa terpaksa dikongsi bersama..

Kuyu mata dibayang senja..
Kala mega menyembah dunia..
Dulu cinta, sayang dan manja..
Bila bertiga berubah semua..

Jala putih dihiris parang..
Petik kiambang hendak berpesan..
Bila sedih menangis seorang..
Cik abang pula tidak perasan..

Bantu nenda di Sungai Buluh..
Ada tempua sedang dijejak..
Waktu muda dibelai sungguh..
Bila dah tua pandang tak nampak..

Langit terang petanda cerah..
Pesona indah mawar cemara..
Sakit seorang tiada dikisah..
Kerana sudah tawar selera..

Dahan tua berbaki kuini..
Jerami seloyang mari dibersih..
Bukan semua lelaki begini..
Suami penyayang isteri pengasih..

Redup dunia malam membawa..
Runtun mega ketiadaan mentari..
Hidup bahagia bersulam taqwa..
Rukun rumahtangga keredhaan Illahi..

Sudah mengarang Pantun Hakikat..
Rangkap selisih bersusun tigabelas..
Susah senang rukun muafakat..
Mantap kasih moga berbalas..

Ukur kebaya tiada berbelah..
Putih cindai di baju raja..
Bersyukur saya kepada Allah...
Kasih disemai selalu dibaja....

Cahaya melantun kaburlah senja..
Celah atap basahlah cucur.. ( cucur atap )
Saya berpantun berhibur saja...
Salah silap silalah tegur..


Kalam berpena...

UmmiAin 


Thursday, December 13, 2012

Pantun Tanjak Destar dan Tengkolok Melayu...


Salam hurmat...

Boleh tahu besar memparang..
Rumpun bersarang pesan mencari..
Beroleh info sumber seberang..
Pantun dikarang olahan sendiri...

Kelam teramat cahaya di laut..
Kaca melantun membawa bunga..
Salam hurmat saya menjemput..
Membaca pantun berhalwa telinga..

Jejak sabar hingga ke Golok..
Berjaga sampai lama tersangkut..
Tiga serangkai nama disebut..

Lima puteri menurut cerita..
Sampai menangis bertemu Raja..
Nama diberi mengikut cipta..
Dipakai dimajlis tertentu sahaja..

Bercerai lama dendam pasrah..
Tidak berdaya hendak bersama..
Berbagai nama dalam sejarah..
Segak bergaya lagak panglima..


Tanjak Lang Melayang

Tulang dimayang lama berhablur..
Serai diketuk kari betutu..
Lang Melayang nama termasyhur..
Dipakai Datuk negeri Terengganu..

Selamat tinggal wahai cik adik..
Derai tangis menantu raja..
Amat terkenal sebagai solek..
Dipakai di majlis tertentu sahaja..

Tanjak Laksamana Terengganu

Tapak buaya terang dan lebar..
Jejak di pantai ke mana menuju..
Tampak bergaya seorang pembesar..
Tanjak dipakai Laksamana Terengganu..

Sedikit garam sedang diramas..
Helaian mengkudu mulai layu..
Songket hitam berbenang emas..
Pakaian hulu Menteri Melayu..

Destar Datuk Bija Di Raja

Gitar diketuk dara teruja..
Kelat sedikit kerana bisa..
Destar Datuk Bija DiRaja..
Ikat Lilit pesona bahasa..

Tukar papan diberi baru..
Diketam retak terkena dawai..
Orang Besar Lapan Negeri Terengganu..
Hitam dan perak pesona dipakai..


Tanjak Temalong Budu

Kalung syahdu kurniaan negeri..
Masuk daerah sangat teruja...
Temalong budu panggilan diberi..
Untuk anugerah pingat diraja..

Pandai seloka indah menyengat..
Terangkat sudah terang bahasa..
Dipakai ketika anugerah pingat..
Pangkat rendah orang biasa..

Tanjak Dagang Sakit Di Rantau

Sejak petang langit mengimbau..
Pesona kalbu awan berarak..
Tanjak dagang sakit di rantau..
Berwarna kelabu dan juga perak...

Lantai ditebuk terkena duri..
Berhari membina lesu pulak..
Dipakai Datuk pesona negeri..
Seri warna kelabu dan perak..


Tengkolok Putera Indera Kayangan

Tinggal sepurnama impian memuja..
Melentuk suara dara pingitan..
Asal bernama pakaian Di Raja...
Tengkolok Putera Indera Kayangan..

Kerana terjolok ranting kemboja..
Dada berdarah menitik di tangan..
Warna tengkolok kuning diraja..
Ada sejarah dibalik kemerdekaan..


 Tanjak Sebang Selat

Pandai tiada sajak rohani...
Bertanya menegur bersimpul alasan..
Sampai kepada tanjak yang ini...
Empunya Negeri Selangor Darul Ehsan..

Lumut Perak abang dah dekat..
Impian mekar mari digembur..
Disebut Tanjak Sebang Selat..
Pakaian pembesar Negeri Selangor..


Tanjak Pari Mudik

Kabutlah nampak mari ditilik..
Tercucuk pedih dibubuh lenga..
Tersebutlah Tanjak pari Mudik..
Pucuk sirih jatuh di telinga...

Pandai berperi selembar bahasa..
Sultan penyeri mekar termasyhur..
Dipakai Dato'Abu Bakar Baginda..
Mantan Menteri Besar Selangor..


Tanjak Lang Patah Sayap

Bijak berperang salah perangkap..
Perlu bersemi untuk selama..,
Tanjak Lang Patah Sayap...
Dipakai hulu rasmi datuk panglima..

Mainnya jengket ke mana arah..
Abang menyergah terpaksa lalu..
Kainnya songket berwarna merah...
Lambang gagah perkasa Melayu..


Pucuk Pisang Patah Sehala

Ketuk kompang sudah bermula..
Gerak diatur tari irama..
Pucuk Pisang Patah Sehala..
Tanjak termasyhur diberi nama..

Dekat Johor mari dijejak..
Pantai singgahan selalu di hala..
Amat tersohor di Negeri Perak...
Dipakai Sultan dahulu kala...


Destar Lang Patah Kepak

Gambar semalam sudah terletak..
Berkenan teruna dada berketak..
Destar Ayam Patahlah Kepak..
Persalinan Raja Muda Perak..

Kerana tegar sering terkena..
Hutang dahulu berpura sahaja...
Warna latar kuning kencana..
Bulang hulu Putera Di Raja..


Tengkolok Mumbang Belah Dua

Mengetuk pinang lelahlah jua..
Andai dimakan kelatlah pulak..
Tengkolok Mumbang diBelah Dua..
Dipakai Sultan amatlah segak..

Jolok kuini buah meletup...
Buah setangkai belum dimakan..
Tengkolok ini sudah termaktub..
Pernah dipakai Al Marhum Sultan..


Destar Lang Sioh

Tempua berkepak kerana lena..
Terbiar puyuh bebal di telaga..
Ungu tua dan perak pesona warna..
Destar Lang Sioh terkenal juga..

Saya bekerja tampil bersarung..
Gentar tidak tiada debaran..
Gaya perkasa Raja Kecil Sulung..
Dastar terletak tanda gelaran..


Lang Menyongsong Angin

Gundah puteri lama terkubur..
Hambar berpuput bersambung dingin..
Sudah diketahui nama termasyhur...
Dastar disebut Lang Menyonsong Angin..

Rodat dialun indah irama..
Lepas gemalai manja mengukir..
Adat bersantun sejarah lama..
Kemas dipakai Raja Di Hilir..

Destar Getam Pekasam


Camar bercengkerama dimalam kelam..
Derai kasar hujan mengena..
Destar bernama Getam pekasam..
Dipakai pembesar kanan istana..

Setor berketang berisi delima..
Dikuak sabar bersih diatur..
Selangor dan Pahang berkongsi sama..
Juak dan pembesar beroleh masyhur..


Destar Balung Ayam

Petik kundang tegak cahaya..
Bakar relung alam berpuput..
Cantik dipandang segak bergaya...
Destar Balung Ayam disebut..

Dalam ku renang hening pesona..
Jejak bertapak jelas sehala..
Bersulam benang kuning kencana..
Tampak segak di atas kepala..



Tengkolok Alang Iskandar

Bukan selalu jaring di pantai..
Cangkuk hilang tersungkur semua..
Ikatan hulu sering dipakai..
Tengkolok Alang Iskandar termasyhur jua..



Tanjak Sekelongsong Bunga

Tetak rebung kenanga yang kena..
Kari memparang secembul sayur..
Tanjak Sekelongsong Bunga pesona.....
Negeri Pahang Darul Makmur..

Bentara berjasa hebat bekerja..
Namun menusuk kala bicara..
Antara biasa dan kerabat diraja...
Daun dan pucuk sula membeza..


Destar Raja Naik Bersiram

Pasar berjaja sampai kemalam..
Lama mencari petai dan garam..
Destar Raja Naik Bersiram...
Nama diberi bagai gurindam..

Sukar bekerja kenapa merintih..
Nyonya mengampai baju yang basah..
Destar diraja berwarna putih...
Hanya dipakai tuanku yang memerintah..


Destar Getam Budu

Derai hambar alam kelabu..
Pesona mengimbau awan di kota..
Pakai destar si Getam Budu...
Berwarna hijau hiasan mahkota...

Irama santai menusuk segar..
Tempua di dahan terkejut terbang..
Cuma dipakai Datuk dan Pembesar...
Rahsia disimpan maksud dilayang..

Destar Cogan Daun Kopi

Trauma serik nyonya terkena..
Sampai pedih tangan dan jari..
Nama yang unik empunya makna..
Dipakai oleh Sultan bestari..

Selagi Syurga indah azali..
Tegar agama rangkuman hati...
Bersegi tiga mudah dikenali..
Destar bernama Cogan Daun Kopi..

Tanjak Kacang Sehelai Daun

Sejak petang membuai alun..
Ambang sinaran lautan nian..
Tanjak Kacang Sehelai Daun...
Lambang kesuburan dan kesatuan..

Kalau ditanya tidak berdaya..
Tangisan berhari seakan telus..
Hijau warnanya segak digaya...
Warisan Negeri Sembilan Darul Khusus...


Sarang Kerengga

Barang berharga dierima sudah..
Gambar siapa berkenan teruna..
Sarang Kerengga nama terindah...
Berkembar rupa berlainan makna..

Petai sepetak tumbuh papaya..
Dekat sekerat habis dibaja..
Dipakai segak penuh bergaya...
Adat isti'adat majlis diraja..


Tengkolok Kacang Dua Daun

Teluk Berembang jua berkebun..
Adik terima tanda bertanya.
Tengkolok Kacang Dua Daun...
Disebalik nama ada maksudnya..

Kelam mentari meruntun petang..
Pantai beralun irama lautan..
Ilham dari dedaun kacang...
Dipakai tahun lima puluhan..


Helang Menyambar

Pulang Kampar cuma berurut..
Kembar melekat di zaman dahulu..
Helang Menyambar nama disebut..
Destar beradat pakaian hulu...

Ampaian satin sulaman baldu..
Melambai cuma disapa bayu..
Pakaian pengantin zaman dahulu...
Bagai panglima perkasa Melayu..



Dendam Tak Sudah
Dendam Tak Sudah 2

Gurindam madah karangnya pasti..
Tulisan sendiri gambar diberi..
Dendam Tak Sudah bukannya hati...
Panggilan diberi dastar negeri..

Rambai diperoleh segar berhari...
Hingga muatan tenggelam kerananya..
Dipakai oleh pembesar negeri..
Tiga lipatan hitam warnanya..


Tanjak Dendam Berahi

Tanam ubi petola mati..
Bajak landai berdaya guna..
Dendam Berahi pula menanti...
Tanjak dipakai gaya istana..

Cahaya pantai segar dan syahdu..
Petang kelak mencari awan..
Bergaya dipakai pembesar dahulu..
Undang Luak Negeri Sembilan..


Ketam Budu Setangan Isih

Malam syahdu kenangan pedih..
Hambar kesal ke mana gerangan..
Ketam Budu dan Setangan Isih..
Destar terkenal di istana Kelantan..

Bulang Hulu

Pulang dahulu semoga sampai..
Tempua mengintai ke mana bayan..
Bulang Hulu juga tersenarai...
Semua dipakai di istana Kelantan..


Destar Sudu Itik

Sudah dicuba hendak berjalan..
Ke Pasar Pudu bawa bekalan..
Kedah juga tidak ketinggalan...
Destar Sudu Itik nama panggilan..


Belah Mumbang

Lentur petola nyonya menarah..
Telah tumbang dahan mencupu..
Johor pula empunya sejarah..
Belah Mumbang pakaian dahulu..

Ampai seluar di bawah suhu..
Lambaian bayu tempiasan pohon..
Bagai layar sebuah perahu..
Pakaian Melayu ratusan tahun...


Tanjak Laksamana Johor-Riau

Letak di mana anggur dan limau..
Papaya terlebih sampai mengecut..
Tanjak Laksamana Johor Riau..
Digaya oleh pegawai di laut..

Destar Lubang Layar

Kembang setangkai mekar teratai..
Paya Lebar peri termasyhur..
Lubang Layar destar dipakai..
Gaya Pembesar Negeri Johor..

Destar Tebing Laksamana

Destar Tebing Runtuh

Sunting angsana rantingnya rapuh..
Sangkar kotor siburung puyuh..
Tebing Laksamana dan Tebing Runtuh..
Destar Johor bersambung teguh..


Destar Laksamana Kedah
Destar Temenggong Kedah

Ke mana tuan merenung sudah..
Mangkuk seramik pecah percuma..
Laksamana danTemenggong Kedah...
Bentuk unik segagah nama..



Destar Siga

Rebah padi di sawah Melayu..            
Terbiar mangga melentik jerami..
Sabah Bumi Di Bawah Bayu..
Destar Siga etnik peribumi..



Tengkolok Bugis Tak Balik

Cencalok di pasar habis di kelek..
Bekal kenangan buat melawak..
Tengkolok digelar Bugis Tak Balik...
Terkenal di kalangan masyarakat Sarawak..

Pasar Golok mangga selambak..
Hiasan pasu di taman indah..
Destar, tengkolok dan juga tanjak..
Warisan Melayu di zaman Hang Tuah..

Memberi pantun tiada penonton..
Belum berjaya mengarang sambung..
Jari bersusun tanda memohon..
Maklum saya orang kampung...



Kalam berpena..

UmmiAin 


Friday, December 7, 2012

Pantun Kuih Tradisional Malaysia..

Assalam...bahagia dan segala hurmat saya untuk pembaca dan pemantun budiman...mari kita berpantun berjual beli...pantun asli ciptaan pun asli...bagi sesiapa yang suka kuih tradisional...mari membeli....bukan kuih sahaja tapi pantunnya juga...ya....^^

Cubalah membaca pantun bersulam suara...diiringi irama nostalgia...baru terasa bahagia, bukan ka...

Ya..Malaysia sememangnya kaya dengan makanan tradisi yang tak lapuk dek kulat tak lekang dek mentari....


Demah seminit jari yang luka..
Menangis dinda emak bersuara..
Jamah sedikit kuih serimuka..
Manis ada lemak bersira..          

Seri muka

Dihempap pening tertekan gusi..
Pasti telentang serik sendiri..
Karipap pusing makanan tradisi..
Berinti kentang keledek dan kari..

Karipap pusing

Delima dipetik berbiji seribu..
Hendak berulam sayuran basah..
Nama yang unik disaji selalu..
Badak berendam kegemaran ayah..

Badak berendam

Mangga dipetik mencari delima..
Pasu dilanggar begini jadinya..
Telinga lembek diberi nama..
Baru ku dengar ini ceritanya..

Telinga lembek

Harum setanggi malam seinci..
Menanti siapa harus tidaknya..
Minum pagi bersulam kuih koci...
Berinti kelapa dikukus masaknya..

Kuih koci

Sepi teratak terlekat lumut..
Lulur hawa lama berpuput..
Tepi berketak bulat dan lembut...
Cucur jawa nama disebut...

Cucur jawa

Lama terasa dekat bertempat..
Malu si dara masih manis..
Umpama pangsa bertingkat rapat...
Itulah gara si kuih lapis..

Kuih lapis

Tari Melayu selendang tebal..
Paluan gendang irama purba..
Seri ayu memang terkenal..
Sarapan dihidang bersama keluarga..

Seri ayu

Sirih direbus meresap diloyang..
Mengapa dipetik melati di taman..
Kuih ros merangkap kuih goyang..
Rupa cantik seperti kuntuman...

Kuih ros

Masih dahulu condisi adek...
Serba maju tidak ketinggalan..
Kuih bahulu tradisi nenek...
Dicuba satu hendak sembilan...

Bahulu

Rengek si adek jejari bentan..
Ayun pelampung di tepi kolek..
Cek mek molek dari Kelantan..
Diadun tepung dan ubi keledek..

Cek mek molek

Masih termenung keluar tingkap..
Nanti terlupa merpati di sangkar..
Kuih gulung kembar ketayap..
Berinti kelapa seperti tikar..

Kuih ketayab @ kuih gulung

Sepat menggeletek meluah suka..
Merpati pula kalut menyapa..
Tak dapat ku petik buah melaka..
Berinti gula bersalut kelapa..

Buah melaka

Suara gerimis meratap pilu..
Gundah luka menelan rasa..
Cara manis sedap selalu..
Juadah berbuka dibulan puasa..

Cara manis

Sepatu kelabu rompong berlubang..
Beli sepadan dekat bonia..
Putu bambu di Kampung Subang..
Sekali makan tak ingat dunia...

Putu bambu

Degup haruan berenang di ceruk..
Patah senapang membida gelama..
Rangup dimakan sibatang buruk..
Usah dipandang kepada nama..

Batang buruk

Pesona manggis lebat sedikit..
Diberi sebaldi hendakkan setimba..
Kerana manis dapat penyakit..
Puteri mandi takkan dicuba..

Puteri mandi

Rokok dan ekor tahan dimakan..
Resapan gusi diri bercandu..
Keropok lekor buatan ikan..
Makanan tradisi dari Terengganu...

Keropok lekor

Gaya duka duduk seorang..
Perit sehingga meruntun bertahun.
Feveret keluarga turun temurun..

Cogkodok pisang

Sedu sedan masih berdendam..
Sepi nurani tegar perasaan...
Dahulu makan kuih penderam..
Tapi kini bertukar kecintaan..

Kuih penderam
Badai mengalun deras terasa..
Luluh mentari meruntun pesona..
Seandai pantunku keras bahasa...
Sepuluh jari bersusun makna...


Setakat ini dulu pantun ku karang...kesibukan masa waktu terluang...Maghrib melambai azan berkumandang,  sebenarnya banyak lagi sampai tak terkarang Ummi, jari dah letih minda merintih....kuih tradisional makanan Malaysia....sudah terkenal seantero dunia...kalau nak cuba...rajin-rajinla click resepinya....ya...^^ siap dengan gambarnya sekali.......salam hurmat dari hamba yang sederhana.


Kalam berpena..

UmmiAin